KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sudah sampai masanya dunia bersetuju dan merealisasikan cadangan meletakkan pasukan pengaman antarabangsa di Palestin.

Menurutnya, tragedi yang berlaku di Gaza telah meletakkan isu kemanusiaan pada titik paling rendah, selain tiada usaha untuk menghentikannya.

Ujar beliau Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan Mesir juga telah mencadangkan mengenai pasukan pengaman antarabangsa itu di Gaza.

"Saya juga pernah menyuarakan ketika Kolokium Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) tahun lalu agar Pasukan Pengaman PBB digerakkan ke Gaza bagi menjamin penghantaran bantuan kepada dua juta rakyat yang kehilangan tempat tinggal.

"Malah, perkara ini juga telah dimaklumkan kepada saya bahawa Pakatan Global Menentang Penjajahan Palestin (GCAOP), yang terdiri daripada 50 organisasi dari 30 negara yang berbeza, turut berkongsi pandangan yang sama," katanya.

Selain itu, sambil melahirkan perasaan marah yang sukar diungkapkan, tegas beliau tiada manusia yang mampu memahami kebiadaban Israel dan menggambarkan kejahatan mereka.

Walaupun banyak negara telah mengecam tindakan Israel, katanya rejim itu terus melakukan genosid tanpa sebarang tindakan balas, diberanikan lagi dengan sokongan kewangan, ketenteraan dan bantuan senjata dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Memandangkan situasi serius dengan apa yang berlaku di Gaza ketika ini, Dr Mahathir berkata, terdapat keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.