UNTUK penganjuran kali kesepuluh, Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (MPFKL) telah mengangkat filem Snow In Midsummer sebagai filem terbaik.

Filem ini berjaya mengenepikan pesaing terdekat antaranya Reversi, Takluk: Lahad Datu, Kahar: Kapla High Council dan Sheriff: Narko Integriti yang menjadi salah satu filem box office tahun 2024.

Dalam penganjuran kali ini, filem-filem terbitan Astro Shaw juga berjaya merangkul beberapa anugerah antaranya Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Pengarah Terbaik menerusi filem Kahar: Kapla High Council.

Sementara itu, pelakon Susan Lankester terus mencipta sejarah apabila sekali lagi diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem lakonannya Rain Town.

Berikut adalah keputusan rasmi Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2024:

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Sweet Qismina untuk Babah

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Eman Manan untuk Takluk: Lahad Datu

Lakon Layar Terbaik Chong Keat Aun untuk Snow In Midsummer

Sinematografi Terbaik Tan Teck Zee untuk Takluk: Lahad Datu

Pelakon Wanita Terbaik Susan Lankester untuk Rain Town

Pelakon Lelaki Terbaik Jack Tan untuk Gold

Pengarah Terbaik Razaisyam Rashid untuk Kahar: Kapla High Council

Filem Terbaik Snow In Midsummer (Wong Kew Soon, Chow Wai Thong, Jennifer Jao, Gene Yao selaku penerbit. Jment Lim selaku penerbit eksekutif)

Sekadar info, Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (MPFKL) telah bersidang bagi menilai dan mempertimbangkan filem-filem tempatan yang telah ditayangkan dari 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2024.

Tempoh penelitian telah dijalankan selama lima minggu bermula 1 Januari 2025 hingga 7 Februari 2025.

Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Film Critics Circle), diasaskan pada November 2011, ialah kumpulan pengkritik filem yang beroperasi secara maya di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Terdiri daripada editor, pengarang, blogger dan pencipta kandungan yang berdedikasi dalam analisis filem, majlis ini berperanan menilai serta memilih filem Malaysia terbaik setiap tahun berdasarkan aspek seni, estetika, dan kepakaran sinematik.

Sebagai badan penilai, MPFKL meneliti filem-filem Malaysia bagi memberi pengiktirafan yang sewajarnya. Setiap tahun, hasil pemilihan ini diumumkan menerusi Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (AMPFKL). -- Gempak