Hakim, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas menolak permohonan Dr Mahathir yang menyambut kelahiran ke-99 pada Julai tahun lalu.
"Mahkamah menolak permohonan itu tanpa sebarang kos.
"Saya akan menulis alasan penuh penghakiman dengan segera," katanya selepas ditanya peguam, Zainur Zakaria alasan penolakan permohonan itu.
Selain Zainur, bekas Ahli Parlimen Langkawi terbabit turut diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala kerajaan selaku responden dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan.
Sementara itu, Muhammad Rafique memberitahu media bahawa, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan berkenaan.
Pada 5 Jun 2024, Dr Mahathir telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya prosiding RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.
Bekas pemimpin politik itu dalam afidavit sokongan mendakwa, keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.
Beliau memfailkan permohonan itu melalui Law Practise of Rafique di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden.
Turut dinamakan sebagai responden ialah ahli-ahli RCI iaitu Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Profesor Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Tuan Hai Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.
Dr Mahathir memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang sedang disiasat oleh RCI untuk mengkaji perkara mengenai pengendalian kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Selain itu, beliau memohon perintah melarang Md Raus daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan melarang Dr Baljit serta Mohammed Ridha menjadi ahli RCI.
Dr Mahathir berkata, pelantikan Md Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan 'real danger of bias' kerana wujud perselisihan faham antara Md Raus dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan Md Raus dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI. - Sinar Harian