Menerusi video berdurasi 1 minit 26 saat di platform X pada Ahad, Dr Mahathir dilihat mencari wang yang didakwa berjumlah RM3 bilion itu di pelbagai sudut termasuk di belakang televisyen dan bawah katil serta sofa.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, beliau mencari wang tersebut selama dua tahun namun masih belum menjumpainya.
“(Sedang cari) duit, duit RM3 billion yang (didakwa) ada pada saya. Cari masih tidak jumpa.
“Sudah dua tahun mencari (wang itu) tetapi tidak jumpa,” katanya pada Isnin.
Tindakan Dr Mahathir itu dilihat sebagai satu sindiran terhadap dakwaan beberapa pihak bahawa beliau kononnya mencuri wang berbilion milik kerajaan sewaktu menjadi Perdana Menteri.
Video berkenaan turut menunjukkan beliau tidak menjumpai wang itu selepas menggeledah di beberapa tempat.
Ketika ditanya sama ada ingin meneruskan pencarian di Switzerland, Dr Mahathir setuju dengan cadangan tersebut dan mendakwa wang berkenaan berkemungkinan ada di sana.
“Kita pergi Switzerland, bank di Switzerland barangkali ada (wang) di situ. Jom kita pergi,” ujarnya. - Sinar Harian