PUTRAJAYA: Amerika Syarikat disifatkan sebagai penjenayah terbesar dalam konflik Palestin-Israel dan perlu dihadapkan ke mahkamah keadilan antarabangsa (ICJ) atas sokongannya terhadap Israel.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rejim Zionis tidak akan mampu melakukan serangan kejam terhadap penduduk Gaza seperti yang berlaku sekarang tanpa bantuan daripada Washington.

“Penjenayah yang terbesar ialah Amerika. Tanpa sokongan daripada Amerika, tak mungkin Israel lakukan walaupun mereka ingin,” katanya.

"Amerika Syarikat mengizinkan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin," katanya pada Majlis Berbuka Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini semalam.

Menurutnya, beliau juga percaya negara terbabit membekalkan segala senjata serta peralatan ketenteraan kepada Israel supaya hasrat rejim Zionis untuk mengambil alih Gaza akan tercapai.

Tegas Dr Mahathir, penglibatan Amerika dalam konflik ini menunjukkan ia secara langsung bertanggungjawab terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berdepan dengan serangan tanpa henti.

“Saya anggap Amerika juga perlu dihadapkan ke mahkamah antarabangsa kerana kita tahu merekalah yang menjadi penyokong Israel yang kuat sehingga dapat membunuh begitu ramai rakyat tanpa dunia boleh membuat apa-apa tindakan,” katanya.

Beliau turut menyeru ICJ agar tidak berdiam diri dan mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Palestin.

"Saya berdoa mereka tabah hati dan bertahan, malah saya harap dunia tidak akan membenarkan perkara semacam ini berlaku," katanya. - Sinar Harian