YAMAN/ANKARA: Pesawat perang Amerika Syarikat (AS) melancarkan dua serangan udara ke atas "pos perintah" Galaxy Leader, sebuah kapal yang dirampas kumpulan Houthi Yemen di Laut Merah pada November 2023, lapor saluran televisyen Al-Masirah yang bersekutu dengan Houthi pada Ahad.

Houthi tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu, dan setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada AS atau Israel berhubung insiden berkenaan, menurut Anadolu Ajansi (AA).

Media Israel, Walla, pada 19 Nov 2023 melaporkan bahawa Houthi telah merampas kapal itu, yang sebahagiannya dimiliki sebuah syarikat Israel. Tiada warganegara Israel berada di atas kapal berkenaan.

Kapal itu dirampas oleh Houthi, dan 25 anak kapalnya ditahan selama lebih setahun sebelum dibebaskan pada Januari lalu hasil pengantaraan Oman.

Houthi memberi amaran kepada Israel pada 7 Mac supaya membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dalam tempoh empat hari atau berdepan tindakan semula ke atas kapal berkaitan Israel.

AS melancarkan serangan udara ke atas Houthi di Yaman ketika Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa "kehancuran besar" akan berlaku jika kumpulan yang disokong Iran itu meneruskan serangan ke atas perkapalan di Laut Merah.

Sejak akhir 2023, Houthi telah menyasarkan kapal berkaitan Israel yang melalui Laut Merah dan Laut Arab, Selat Bab al-Mandab serta Teluk Aden menggunakan peluru berpandu dan dron, mengganggu perdagangan global, dengan mendakwa tindakan mereka sebagai solidariti terhadap Gaza.

Kumpulan itu menghentikan serangan apabila gencatan senjata di Gaza diisytiharkan pada Januari antara Israel dan kumpulan Palestin, Hamas.

Bagaimanapun, ia mengancam untuk menyambung semula operasi apabila Israel menyekat semua bantuan ke Gaza pada 2 Mac.

-- BERNAMA