Menerusi hantaran di Facebook, Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee berkata, kelulusan itu diperoleh selepas beberapa bulan berada dalam tahanan imigresen di negara berkenaan.
Menurutnya, dia memasuki AS dengan menyerah diri di sempadan Mexico-AS selepas pasport antarabangsanya dibatalkan oleh kerajaan Malaysia.
"Mulanya saya melarikan diri ke Singapura, kemudian ke United Kingdom dan seterusnya ke Mexico.
"Dari Mexico, saya berjalan ke arah pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dengan menyatakan bahawa saya tidak mempunyai pasport serta visa," katanya pada Rabu.
Dia kemudian digari sebelum diserahkan kepada penguat kuasa imigresen dan Kastam AS (ICE) serta diberi peluang membela diri dalam permohonan suakanya.
"Hujah peguam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) sangat kuat sehingga saya hampir putus asa," katanya, sambil menyatakan bahawa dia tidak percaya mahkamah akhirnya memihak kepadanya.
Pada tahun 2013, Alvin dan teman wanitanya, Vivian Lee May Ling, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyiarkan gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh... fragrant, delicious and appetising)” yang mengandungi logo halal di Facebook.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Selain itu, mereka turut didakwa menyiarkan gambar pornografi di laman Facebook sama mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara jam 9 malam, 6 Julai 2013, dan 2 pagi, 7 Julai 2013.
Alvin melarikan diri ke Singapura selepas mahkamah membenarkan pelepasan sementara pasportnya atas alasan mahu menjalani penggambaran di negara itu. - Sinar Harian
