Dalam satu siaran media pada Jumaat, OCI Holdings berkata, melalui perjanjian tersebut, satu lagi anak syarikatnya OCI TerraSus, yang berpangkalan di Sarawak, akan menyediakan polisilikon gred solar, yang dihasilkan melalui kuasa hidro boleh diperbaharui di Taman Industri Samalaju, Bintulu, Sarawak.
OCI Holdings berkata, ia bercadang untuk memulakan penghasilan komersial sel solar pada pertengahan pertama 2026, dengan penambahan pada separuh kedua seterusnya.
“Dengan mengaitkan produk polisilikon OCI Terrasus dengan fasiliti penghasilan solar sel baharu ini, OCI Holdings bakal mewujudkan rantai bekalan solar, selain China, yang akan mengukuhkan peranan Malaysia dalam pasaran tenaga bersih global.
“Polisilicon gred solar dengan ketulenan tinggi Malaysia akan menjadi asas kepada rantaian bekalan solar bersih ini, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga mampan di Amerika Syarikat, dan mengukuhkan peranan OCI TerraSus sebagai peneraju dalam industri solar,” kata Pengerusi OCI Holdings, Lee Woo Hyun.
Beliau berkata, OCI TerraSus mempunyai kapasiti untuk menghasilan 35,000 tan polisilikon gred suria setahun, membuktikan ia sebagai penyedia utama sel fotovoltaic dan wafer silikon di peringkat global.
Melangkah ke hadapan, OCI Holdings berkata, OCI TerraSus tetap komited kepada inovasi dalam pengeluaran polisilikon kerana permintaan untuk tenaga solar terus meningkat di seluruh dunia.
“Ini termasuk memastikan syarikat dilengkapi dengan proses pembuatan yang maju, memastikan kualiti dan kecekapan yang unggul, serta memperkukuhkan lagi peranan OCI TerraSus sebagai pemangkin utama dalam peralihan ke arah tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
“OCI TerraSus akan berusaha untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin utama global dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dengan melabur dalam teknologi canggih dan memanfaatkan kelebihan strategik Sarawak dan Malaysia, yang termasuk sokongan kuat kerajaan, modal insan yang berkemahiran tinggi, infrastruktur yang kukuh, dan sumber tenaga yang mampan,” menurut kenyataan itu lagi.
