Menurut pihak polis, kejadian itu mengorbankan seorang wanita dan mencederakan dua yang lain.
Jurucakap polis tempatan, Agus Widiono berkata, bot Sea Dragon itu dalam perjalanan dari sebuah pelabuhan di Bali menuju ke Nusa Penida yang merupakan sebuah pulau kecil yang popular dalam kalangan pelancong.
Ketika kejadian, kumpulan pelancong sedang menikmati keindahan dasar laut apabila bot mereka dipukul ombak besar.
Kejadian itu menyebabkan seorang wanita berusia 39 tahun, dikenali sebagai Anna Maree, tercampak ke laut.
Ombak kedua kemudiannya membalikkan bot berkenaan di perairan Kelingking.
Sebuah bot berhampiran segera datang untuk menyelamatkan 12 mangsa, termasuk dua kru tempatan dan dua pelancong yang cedera akibat kejadian itu.
Mayat Maree turut ditemui oleh pasukan penyelamat.
Kesemua mangsa yang terselamat telah menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan berhampiran dan berada dalam keadaan stabil.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemalangan maritim telah meragut ratusan nyawa di Indonesia.
Kapal dan bot sering membawa lebih muatan daripada kapasiti sepatutnya dan peraturan keselamatan kurang dikuatkuasakan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih daripada 17,000 pulau dan populasi sekitar 280 juta, menjadikan pengangkutan air sebagai pilihan utama kerana ia lebih murah dan mudah diakses.
