AMPANG: Insiden sebuah pacuan empat roda menghimpit dan melanggar sebuah kereta yang tular di media sosial mendapat perhatian pihak polis.


Ringkasan AI
  • Polis sedang menyiasat kemalangan tular antara Ford Ranger dan Perodua Myvi di Jalan Pandan 1, MRR2.
  • Kemalangan berlaku ketika Ford Ranger menghimpit Perodua Myvi di selekoh jalan.
  • Kedua-dua kenderaan hanya mengalami kerosakan tanpa sebarang kecederaan kepada mangsa.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihak polis sedang menyiasat kejadian video tular tersebut yang berlaku di Jalan Pandan 1, menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku jam 4.45 petang membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi yang dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Jalan Dagang telah dihimpit pacuan empat roda berkenaan di selekoh jalan.

"Ketika melalui selekoh, kenderaan pacuan empat roda itu datang dari arah sebelah kanan lalu menghimpit Perodua Myvi terbabit sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan di bahagian tepi kanan kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Rakaman video kejadian langgar lari itu tular di media sosial selepas dikongsikan seorang pengguna Threads.

Kata beliau, kedua-dua kenderaan yang terlibat hanya mengalami kerosakan dan tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada mangsa.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan mengikut Peraturan 10 LN 166/59. -Sinar Harian