Ringkasan AI
- Bengkel UNESCO Memory of the World di Bangkok membincangkan pencalonan warisan bersama antara negara Asia Pasifik.
- WHMIC dan Sinematek Indonesia mencadangkan pencalonan filem usahasama Malaysia-Indonesia sebagai warisan audiovisual.
- Usul pencalonan koleksi audiovisual Sukan SEA oleh Pengarah Arkib Negarawan Malaysia mendapat sambutan baik.
Bengkel “UNESCO Memory of the World Workshop on Strengthening Regional Cooperation & Joint Nomination” menghimpunkan 30 orang peserta dari 14 buah negara Asia Pasifik bagi membincangkan serta memperhalusi potensi pencalonan bersama antara negara Asia Pasifik; bagi mencalonkan koleksi warisan bersama di daftar warisan Memory of The World (MoW).
Buat yang kurang mengikuti, Memory of The World (MoW) adalah sebuah program senarai daftar warisan yang mengiktiraf koleksi warisan dalam pelbagai bentuk termasuklah audiovisual – bagi disenarai dan mendapatkan pengiktiran daripada pihak UNESCO.
Pencalonan boleh dikemukakan oleh sesebuah negara, ataupun secara pencalonan bersama oleh dua atau lebih buah negara terlibat; khususnya bagi warisan yang dimiliki secara kolektif oleh pelbagai negara.
Oleh itu, bengkel ini dianjurkan sebagai usaha menggalakkan kerjasama antara negara serantau dalam mengenal pasti serta mengusahakan pencalonan secara bersama, bagi memanfaatkan warisan sebagai medium memperkukuh hubungan serta diplomasi budaya antara negara.
Ketika menerima jemputan tersebut, pihak UNESCO memohon untuk kami mencadangkan organisasi dari negara serantau yang berpotensi untuk kami jalinkan kerjasama ke arah usaha pencalonan bersama dua negara.
Lalu ketika itu kami mencadangkan Sinematek Indonesia untuk dijemput bersama, dengan melihat potensi bagaimana filem-filem usaha sama Malaysia – Indonesia sebagai salah satu yang sesuai untuk inisiatif tersebut.
Dekad 1980-an dan 1990-an menyaksikan kemunculan trend filem usahasama antara syarikat produksi Malaysia dan Indonesia, hasil dari dasar kerajaan ketika itu yang menggalakkan penerbitan bersama (co-production) syarikat produksi dari kedua negara.
Tidak hanya kerjasama antara syarikat produksi, tetapi penerbitan ini turut menggabungkan kerjasama dua negara dalam konteks pelakon serta tenaga produksi di belakang tabir.
Saya melihat signifikannya filem-filem usaha sama dari dekad tersebut, kerana selain faktor perdagangan dan ekonomi, ia memperlihatkan bagaimana filem mampu menjadi jambatan penghubung memperkukuh hubungan kedua negara – setelah kedua negara melalui episod sangat tegang apabila berlaku konfrontasi dan kempen Ganyang Malaysia ketika pembentukan Malaysia pada awal 1960-an.
Lalu penyertaan WHMIC dan Sinematek ke bengkel ini telah membuka sebuah peluang perbincangan tentang melihat kepentingan filem dalam konteks hubungan antara kedua negara.
Saya dipertanggungjawab untuk membentangkan idea tersebut, yang kemudiannya mendapat respons positif dari tenaga pakar yang menjadi pembimbing dalam bengkel tersebut.

Apatah lagi pihak UNESCO begitu menggalakkan pencalonan warisan dalam bentuk audiovisual dalam mengimbangi demografi warisan yang terdaftar dalam daftar MoW - memandangkan warisan dalam bentuk ini sangat sedikit berada dalam daftar MoW berbanding warisan dalam bentuk lain; seperti manuskrip, artifak dan lain-lain.
Namun, beberapa cabaran utama yang perlu ditangani adalah mendapatkan restu dan kebenaran dari para penerbit yang merupakan pemilik harta intelek terhadap filem-filem ini – yang merupakan antara prasyarat utama pencalonan.
Dengan melibatkan banyak syarikat produksi serta banyak syarikat yang kini tidak lagi beroperasi serta rencam status pemilikannya, ia menjadi usaha yang agak mencabar terutamanya apabila ia digerakkan oleh organisasi bebas seperti WHMIC dan Sinematek yang tidak mempunyai wewenang kekuasaan dalam industri ini.

Sesi pada hari kedua bengkel pula turut membuka perbincangan spontan di kalangan semua peserta terhadap idea-idea baharu yang dilihat turut sesuai untuk pencalonan bersama.
Ketika sesi tersebut, seorang lagi peserta dari Malaysia iaitu Pengarah Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia, Tuan Ismail Md Yusof (kini bersara), membawa usul usaha pembangunan pencalonan bersama di kalangan negara-negara Asia Tenggara bagi mengemukakan pencalonan koleksi audiovisual temasya Sukan SEA.
Sukan SEA, atau nama penuhnya Sukan Asia Tenggara (Southeast Asian Games), merupakan temasya sukan dwi-tahunan yang melibatkan negara-negara di rantau Asia Tenggara.
Ia adalah temasya sukan yang menghimpunkan atlet dari pelbagai negara ASEAN untuk bertanding dalam pelbagai jenis sukan.
Sukan SEA bermula dengan nama Sukan SEAP (Southeast Asian Peninsular Games) dan diasaskan oleh Thailand, Myanmar (ketika itu Burma), Laos, Malaysia, dan Vietnam Selatan.
Edisi pertamanya berlangsung di Bangkok pada 12 hingga 17 Disember 1959, dan tuan rumah penganjuran seterusnya adalah secara penggiliran antara negara terlibat.
Ketika edisi tahun 1977, nama temasya ini ditukar kepada Sukan SEA apabila Indonesia dan Filipina diterima menyertai temasya ini. Kini, kesemua negara Asia Tenggara termasuklah Timor-Leste (yang kini berusaha menyertai ASEAN) menyertai Sukan SEA, menjadikan ia acara sukan terbesar bagi rantau ini.
Sebagai sebuah acara sukan serantau dengan sejarah yang panjang, yang juga acaranya dilapor malah disiarkan di pelbagai negara, setiap organisasi penyiaran di setiap negara pasti memiliki sejumlah koleksi rakaman yang sangat besar; merakam setiap edisi temasya sukan berusia lebih 60 tahun ini.

Rakaman-rakaman ini secara kolektif merupakan sebuah rakaman signifikan yang merakam dinamika hubungan antara negara di rantau ini sejak dekad 1950-an hingga kini.
Bayangkan, di sepanjang tempoh tersebut, rantau ini telah melalui pelbagai fasa hubungan diplomatik antara negara, serta beberapa peristiswa besar; seperti keluarnya Singapura dari negara Malaysia, perang Vietnam, perbalahan Laut China Selatan, ketegangan Laos & Myanmar dan pelbagai lagi.
Meski dalam situasi tersebut, Sukan SEA kekal berlangsung sekali gus memperlihatkan bagaimana ia memainkan peranan diplomasi yang sangat signifikan – sekali gus koleksi rakamannya merakam seribu satu refleksi budaya serta begitu dinamiknya hubungan antara setiap negara.
Jadi, adalah sangat wajar untuk koleksi rakaman audiovisual temasya ini secara kolektif diangkat sebagai salah satu khazanah penting kepada rantau Asia Tenggara.
Meskipun temasya Sukan SEA bukanlah sebuah inisiatif rasmi di bawah ASEAN, namun platform ASEAN boleh dimanfaatkan sebagai platform koordinasi dalam usaha pencalonan ini.
Ia boleh dijadikan sebagai salah satu agenda di bawah Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC), yang turut menekankan aspek pembangunan belia, sukan dan budaya – termasuklah nilai serta identiti ASEAN.
Itulah yang diusulkan oleh Encik Ismail ketika itu, dan disambut baik oleh majoriti yang menyertai bengkel tersebut. Setelah beliau bersara tidak lama kemudian, saya tidak pasti status semasa usaha tersebut.
Namun, saya sentiasa berharap ada pihak khususnya kerajaan yang mempunyai akses serta keberadaan di platform rasmi ASEAN untuk terus mengusahakannya.
Ia usaha untuk merangkum kepelbagaian dalam sebuah wadah penyatuan.
Rakaman temasya sukan SEA bukan sekadar gelanggang sukan – namun ia juga koleksi yang menyatukan ASEAN.
Nota: Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com
Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.
Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
