JOHOR BAHRU: Seorang tukang jahit di Kampung Maju Jaya, di sini, pasrah apabila lebih 20 pasang baju raya pelanggan musnah selepas kedainya ditenggelami banjir lumpur, Rabu lalu.


Ringkasan AI
  • Nurizuna Ismail, seorang tukang jahit, kehilangan lebih 20 pasang baju raya pelanggan akibat banjir lumpur.
  • Dia menanggung kerugian hampir RM10,000 kerana mesin jahit dan peralatan jahitnya rosak.
  • Pelanggan memahami keadaannya dan tidak menyalahkannya atas kejadian tersebut.


Nurizuna Ismail, 39, berkata dia berusaha menyelamatkan pakaian pelanggan dengan meletakkannya di tempat lebih tinggi sebelum pulang ke rumah.

Bagaimanapun menurutnya, paras air meningkat dengan cepat hingga menyebabkan kesemua baju itu rosak.

“Ketika air mula naik, saya berada di kedai dan sempat mengalihkan pakaian pelanggan ke tempat lebih selamat.

"Tetapi keesokan harinya, air naik terlalu cepat. Saya dan keluarga terpaksa berpindah segera menaiki lori.

“Ketika melalui kedai, saya lihat air sudah mencecah hampir satu meter, dan petang itu parasnya terus meningkat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, lebih memilukan apabila ada pelanggan yang mahu mengambil baju lebih awal untuk sesi fotografi keluarga sebelum Aidilfitri.

“Ada pelanggan yang tempah untuk sedondon sekeluarga, tetapi saya tak mampu selamatkan baju mereka.

"Kesan lumpur sangat ketara, terutama pada baju berwarna cerah. Saya sendiri tak pasti sama ada ia boleh dicuci atau tidak,” luahnya dengan nada sebak.

Ujar Nurizuna, dia telah mengusahakan kedai jahitnya sejak tiga tahun lalu turut menanggung kerugian hampir RM10,000 selepas mesin jahit dan peralatan jahitnya rosak akibat banjir.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana pelanggan memahami keadaannya dan tidak menyalahkannya atas kejadian tersebut.

“Baju yang dihantar bukan murah, saya sendiri tak mampu untuk ganti. Tambahan pula, Aidilfitri semakin dekat. Saya hanya mampu reda dengan ujian ini,” katanya. -Sinar Harian