Ringkasan AI
- Pusat Pemborong Nilai 3 kembali meriah dengan pengunjung membeli-belah sempena Aidilfitri.
- Peniaga mengakui jumlah pelanggan dan pendapatan meningkat sepanjang Ramadan.
- Pengunjung memilih Nilai 3 untuk membeli barangan raya kerana harga lebih murah dan banyak pilihan.
Nilai 3 yang terkenal sebagai pusat jualan borong pelbagai barangan seperti pakaian, permaidani, langsir, lampu hiasan dan perabot, terus menjadi destinasi pilihan masyarakat berdekatan bagi mendapatkan keperluan persiapan raya pada harga lebih murah.
Tinjauan Bernama mendapati suasana di pusat borong itu semakin sibuk dengan kehadiran pembeli, terutamanya pada hujung minggu, malah peniaga juga mengakui jumlah pelanggan serta pendapatan lebih meningkat berbanding sebelum ini.
Peniaga pakaian wanita dan tudung, Haidar Zulkarnain, 28, berkata jualan semakin meningkat dan hampir setiap hari pelanggan akan membeli di sini sepanjang Ramadan.
"Kalau dulu biasanya hanya Sabtu, Ahad atau musim cuti sahaja yang ramai pelanggan, tetapi pada bulan puasa ini setiap hari ada orang datang membeli.
"Hasil jualan juga meningkat, terutamanya pada Jumaat, Sabtu, dan Ahad ... ," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Haidar berkata pembeli akan mendapat harga istimewa jika membeli pada kuantiti yang banyak.
Sementara itu, peniaga permaidani Hassan Ali Khan, 32, berkata kedainya menjadi tumpuan sejak awal Ramadan hingga hari ini, berikutan pelbagai diskaun ditawarkan di kedainya sempena Aidilfitri.
Beliau berkata sebelum ini kedainya selalu membuat tawaran murah, tetapi kurang pembeli namun bulan ini ramai yang datang.
"Nilai 3 memang akan ramai bila nak raya sahaja, bulan lain biasa pengunjung memang kurang, sunyi sahaja di sini.
"Tetapi sekarang seawal minggu pertama Ramadan pengunjung sudah mula datang membeli, dan jualan di media sosial seperti Shopee, Tik Tok pun turut meningkat," katanya.
Hassan berkata kedainya juga menerima banyak tempahan permaidani daripada peniaga luar yang membeli secara pukal.
Dalam pada itu, pengunjung dari Melaka, Nursarah Amira Jefri, 25, ketika ditemui berkata dia dan keluarga setiap tahun akan datang ke Nilai 3 untuk membeli barangan keperluan hari raya, seperti baju raya, tudung, bekas kuih dan permaidani.
"Biasanya mak suka beli kat sini sebab boleh dapat harga murah, banyak pilihan dan paling penting senang parkir," katanya.
Pandangan sama turut dipersetujui Mohd Amran Asri, 42, yang menjadikan Nilai 3 sebagai lokasi pilihan untuk mereka sekeluarga membeli-belah bagi mendapatkan harga berpatutan.
Mohd Amran dari Selangor berkata dia sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli permaidani dan hiasan lampu rumah kerana harga ditawarkan lebih murah.
-- BERNAMA
