NARATHIWAT: Penyanyi Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin reda menyambut Hari Raya Aidilfitri di penjara meskipun Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan dia daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 6 Mac lalu.


Ringkasan AI
  • Eda Ezrin reda menyambut Hari Raya Aidilfitri di penjara meskipun telah dibebaskan daripada tuduhan memiliki pil kuda.
  • Dia berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan pembebasannya.
  • Selepas dibebaskan, Eda Ezrin mahu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi dan menyampaikan salam kepada semua termasuk peminat.


Eda Ezrin berkata, meskipun terpaksa menjalani tahanan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat dia bersyukur pada Allah selepas dibebaskan daripada tuduhan berat itu.

"Sehingga kini saya masih belum menerima sebarang maklumat sama ada pendakwa raya telah mengemukakan rayuan di mahkamah atau sebaliknya.

"Tempoh untuk kemuka rayuan akan tamat awal bulan depan. Saya berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama Menteri Kehakiman Thailand, Leftenal Kolonel Polis Thawee Sodsong pada Ahad.

Menurut dia, selepas dibebaskan nanti dia mahu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

"Tolong sampaikan salam buat semua termasuk peminat," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Bagaimanapun, Eda Ezrin, suami serta empat rakannya tetap kembali semula ke Penjara Wilayah Narathiwat meskipun mereka dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Tindakan itu bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah membebaskan kesemua rakyat Malaysia itu.

Peguam bela yang mewakili Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz berkata, pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh sebulan hingga empat bulan. -Sinar Harian