Agensi penarafan kredit global itu dalam satu kenyataan berkata pergerakan rantaian bekalan dari China ke pasaran jiran (pilhan lain) setakat ini terhad walaupun terdapat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
"Penguasaan rantaian nilai China menyukarkan pengeluar mengurangkan pergantungan kepada input dari China walaupun syarikat multinasional kini beralih kepada pengeluaran lebih dekat kepada pembekal," katanya.
Bagaimanapun, keuntungan perdagangan dan pelaburan tidak seimbang dengan import dari ASEAN dan India kekal rendah, masing-masing membentuk sekitar 9.0 peratus dan 3.0 peratus daripada jumlah import AS pada 2024.
Sementara itu, eksport China beralih ke ASEAN, Rusia dan Kesatuan Eropah.
"Aliran pelaburan asing mencerminkan peralihan ini dengan Vietnam dan Malaysia muncul sebagai destinasi utama untuk 'pelaburan greenfield' apabila bahagian China merosot," kata Moody's.
Dalam terma ekonomi, 'pelaburan greenfield' (GI) bermaksud pelaburan langsung asing (FDI) di mana syarikat menubuhkan operasi baharu di negara asing dengan membina kemudahan baharu.
Ia juga berkata pada Oktober 2024, AS mengumumkan duti timbal balas awal ke atas sel solar yang diimport dari Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam, disasarkan kebanyakannya kepada syarikat milik China yang beroperasi di Asia Tenggara dipercayai menerima subsidi tidak adil.
Moody's Rating berkata pergantungan yang semakin meningkat kepada China menunjukkan kesan tidak langsung tarif ke atas ASEAN boleh menjadi ketara.
"Ini akan memberi kesan ekonomi negatif terutamanya bagi ekonomi yang bergantung kepada permintaan China seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia.
"Penurunan dalam permintaan eksport menyebabkan risiko kepada negara yang berusaha untuk mencontohi model pertumbuhan diterajui eksport China kerana bersaing dalam persekitaran perdagangan kewajaran campur tangan yang semakin meningkat menjadikannya lebih sukar," katanya.
Moody's Rating berkata ASEAN dan India perlu membangunkan kapasiti nilai tambah asli yang lebih besar untuk meningkatkan daya saing.
Ini kerana ketiadaan rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh dan penambahbaikan dalam dasar perdagangan, kekal sebagai cabaran utama menghalang pembangunan lebih pantas hab pembuatan baharu, kata agensi itu.
Ia berkata meningkatkan daya tarikan pelaburan memerlukan penambahbaikan dalam infrastruktur, ketersambungan dan liberalisasi dasar pelaburan dan perdagangan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).
Moody's Rating berkata kerajaan serantau telah melaksanakan dasar strategi termasuk memanfaatkan Industri 4.0, penambahbaikan infrastruktur dan dasar proaktif untuk menarik FDI.
-- BERNAMA
