ANKARA: Sekurang-kurangnya 41 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah kematian sejak Oktober 2023 meningkat kepada 50,021 orang, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Kementerian Kesihatan pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah itu termasuk dua mayat yang dikeluarkan daripada runtuhan dalam tempoh 24 jam lepas.

Kementerian itu berkata 61 lagi mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital, menjadikan jumlah kecederaan akibat serangan Israel kini mencecah 113,274 orang.

"Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat tidak dapat mengakses mereka," tambah kementerian.

Lebih 700 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 1,200 lagi cedera dalam serangan udara mengejut oleh Israel ke atas Gaza sejak Selasa, sekali gus melanggar gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.

-- BERNAMA