PYONGYANG: Korea Utara mengecam serangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) ke atas Yaman serta menyifatkan tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara.

Media rasmi Korea Utara, KCNA pada Selasa memetik kenyataan dutanya ke Yaman memaklumkan, serangan sedemikian tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan.

Duta Korea Utara, Ma Dong Hui, berkata Washington telah menyasarkan orang awam dan harta benda sewenang-wenangnya dengan mengerahkan pasukan udara dan laut, termasuk sebuah kapal pengangkut pesawat.

Serangan berskala besar oleh AS itu dilancarkan minggu lalu atas arahan Presiden Donald Trump, menyasarkan kumpulan Houthi yang disokong Iran berikutan serangan mereka ke atas kapal-kapal di Laut Merah.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Houthi melaporkan bahawa serangan tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 53 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak. 

Angka korban akibat serangan udara AS dan United Kingdom (UK) di beberapa bandar di Yaman pada Sabtu malam meningkat kepada 31 orang, manakala 101 yang lain cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.