RAMALLAH: Palestin pada Selasa menggesa campur tangan segera antarabangsa bagi menghentikan perang genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Tentera Israel menyerang Semenanjung Gaza awal pagi Selasa, membunuh lebih 320 orang dan mencederakan ratusan yang lain, walaupun perjanjian gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

Gambar yang tersebar dari Gaza menunjukkan majoriti mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang rumah mereka dibom pada waktu malam.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar Palestin menyifatkan serangan Israel ke atas penduduk awam di Gaza sebagai "gangguan terhadap usaha antarabangsa untuk pembinaan semula Gaza dan penghindaran Israel daripada kewajipan gencatan senjata."

"Penyelesaian politik merupakan kunci untuk mencapai ketenangan, menghentikan serangan, serta memulihkan hala tuju penyelesaian konflik," tegas kenyataan itu.

"Kami menyeru pendirian tegas antarabangsa bagi menguatkuasakan penghentian serta-merta serangan dan memberi amaran terhadap cubaan rejim penjajah melaksanakan rancangan pemindahan paksa rakyat kami," tambah kementerian tersebut.

Sejak Oktober 2023, lebih 48,500 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan kejam Israel di Gaza.

-- BERNAMA