RAMALLAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap serangan berterusan Israel ke atas bandar-bandar di Tebing Barat, khususnya di utara, untuk bulan kedua berturut-turut, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Pada sidang media, jurucakap rasmi Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric berkata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB sedang memantau secara dekat situasi di Tebing Barat yang diduduki.

Beliau menegaskan bahawa PBB terus bimbang dengan operasi berterusan yang dilancarkan oleh tentera Israel di bahagian utara Tebing Barat, sambil menyatakan bahawa Israel kini sedang melaksanakan serangan paling lamanya sejak awal 2000-an.

"Serangan oleh peneroka Israel yang merampas tanah Palestin masih berterusan," katanya.

Jurucakap PBB itu turut mendedahkan bahawa purata lima "serangan ganas oleh peneroka" direkodkan setiap hari di Tebing Barat sepanjang minggu lepas.

Beliau mengesahkan bahawa serangan terbabit "menyebabkan kerosakan ke atas harta benda warga Palestin, termasuk peneroka yang memotong saluran paip air pertanian, sekali gus menjejaskan mata pencarian puluhan petani Palestin."

"Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB telah merekodkan pemindahan kira-kira 2,300 rakyat Palestin, termasuk 1,100 kanak-kanak, di seluruh Tebing Barat sejak tahun lepas akibat serangan peneroka dan sekatan yang dikenakan oleh Israel," kata Dujarric.

-- BERNAMA