KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi negara Faizal Saari mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan selepas membantu Terengganu Hockey Team (THT) merangkul gelaran treble Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, malam ini.

Pemain berusia 34 tahun itu berkata sudah tiba masanya untuk beliau menggantung kayu hoki selepas meraih 302 caps dalam tempoh 15 tahun mewakili negara sejak kali pertama dipanggil ke skuad Speedy Tigers ketika berusia 18 tahun.

Namun, beliau menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL serta Piala Tun Abdul Razak.

"Saya boleh mengumumkan secara rasmi bahawa saya bersara daripada hoki antarabangsa hari ini untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda. Peminat tidak akan melihat kelibat saya dalam kejohanan antarabangsa... Saya sudah lama bersama pasukan negara.

"Saya sangat bangga dengan pencapaian treble ini. Ini adalah tahun yang sangat gemilang buat saya dan THT. Kami menang kesemua 12 perlawanan untuk treble ini," katanya selepas membantu THT muncul juara Piala TNB 2025 di Stadium Hoki Nasional 2, di sini, malam ini.

Faizal, salah seorang penyerang terbaik negara, berkata beliau merancang untuk membuka akademi hoki di Pandamaran, Klang selepas Hari Raya Aidilfitri kerana gemar mengajar kanak-kanak.

Ditanya mengenai pelapis untuk skuad Speedy Tigers, beliau menamakan Mohd Azraai Khor Abdullah dan Akhimullah Anuar Esook sebagai antara pemain yang berpotensi menggalas tanggungjawab di barisan serangan negara.

Terdahulu, Faizal melengkapkan kejayaan treble kedua bersama THT selepas 2023 dengan menewaskan juara treble 2024, Tenaga Nasional Berhad (TNB), 3-0 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan akhir.

Faizal, adiknya Fitri dan Syarman Mat Tee berjaya menemui sasaran untuk membantu THT muncul juara. THT sebelum ini meraih gelaran Piala Sumbangsih serta mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua sembilan perlawanan untuk menjuarai liga.

Malam ini menjadi lebih manis buat pemenang pingat perak Sukan Asia dua kali itu apabila Faizal turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak LHM 2025 selepas meledak 32 gol dalam 12 perlawanan secara keseluruhan dengan 14 daripadanya adalah gol padang.

Sementara itu, ketua jurulatih THT, Mohd Hafizi Baharom memberikan sepenuh kredit kepada pemain atas kejayaan treble dan kemenangan pada aksi final.

"Kami memang tidak menyangka boleh memenangi treble dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua 12 perlawanan. Pemain telah beraksi bermati-matian hari ini, terutamanya dalam menafikan serangan berbahaya TNB yang banyak meningkat sejak tewas 2-1 kepada kami dalam aksi Piala Sumbangsih bulan lepas, " katanya.

Pengendali TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin pula berkata kekalahan pada aksi malam ini berpunca daripada ketumpulan barisan serangan yang gagal menyudahkan peluang, selain beberapa pemain muda yang belum mencapai tahap terbaik untuk beraksi dalam tekanan tinggi.

Justeru, beliau berkata pasukannya akan mendapatkan pemain lebih berpengalaman serta melakukan persiapan lebih rapi dalam usaha merampas kembali kejuaraan treble pada musin depan.

-- BERNAMA