Menurut kenyataan itu, wartawan foto Palestin Omar Salah Al-Derawi, maut dalam pengeboman Israel yang menyasarkan rumahnya di kawasan Al-Zawaida, tengah Gaza menyebabkan beliau dan kedua ibu bapanya turut terkorban.
Al-Derawi sebelum ini bekerja dengan beberapa agensi berita.
Dengan insiden terbaru ini, jumlah keseluruhan wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 202 orang sejak 7 Okt 2023, menurut kenyataan itu.
Pejabat Media mengutuk serangan terhadap wartawan Palestin, menyifatkan ia sebagai usaha "sistematik untuk membunuh dan menyekat" profesional media.
Pejabat itu menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi yang memperjuangkan kebebasan media agar mengecam tindakan itu serta mendesak Israel diheret ke mahkamah antarabangsa.
Tentera Israel dilaporkan terus melancarkan genosid di Gaza yang mengorbankan lebih 45,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyeru gencatan senjata segera.
Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan serangan yang memusnahkan Gaza.
-- BERNAMA