KUALA LUMPUR: Sebanyak 283 premis pembungkus dan pengilang beras import diperiksa dalam Ops Campur setakat semalam, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh.

Beliau berkata pemeriksaan itu turut membawa kepada 99 kes sitaan sampel beras untuk tindakan lanjut, dengan nilai sitaan berjumlah RM29,374.90.

"Sampel yang disita ini akan menjalani ujian kualiti yang dikemukakan kepada Jabatan Kimia Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Tindakan penguatkuasaan di bawah Ops Campur tertumpu kepada pengilang dan pembungkus beras import, selaras dengan perundangan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730)," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Ops Campur memberi tumpuan kepada perundangan di bawah Akta 730, termasuk tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan maklumat palsu mengenai kandungan, jenis atau nama beras import, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 5 Akta 730.

Dalam perkembangan lain, Fuziah menjelaskan bahawa kementerian akan menambah baik Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) tahun ini susulan kebimbangan mengenai penyalahgunaan minyak masak bersubsidi oleh bukan warganegara.

"ECOSS akan diperluaskan kepada pengguna dengan pelaksanaan perintis pada tahun ini. Hanya warganegara Malaysia yang layak membeli minyak masak bersubsidi," katanya.

Menurutnya, sistem ECOSS sebelum ini digunakan untuk menjejak rantaian minyak masak dari peringkat kilang penapisan hingga ke peruncit.

"Namun, apabila tiba di peringkat peruncit, rekod masih dicatat dalam log book, menyukarkan proses penjejakan dan memungkinkan ketirisan berlaku," katanya.

-- BERNAMA