"Kami menjangkakan Community Notes akan kurang bersifat berat sebelah berbanding program pemeriksaan fakta pihak ketiga yang digantikannya kerana ia membolehkan lebih ramai individu dengan pelbagai perspektif menambah konteks kepada hantaran," menurut kenyataan Meta di laman sesawangnya.
Pada Januari lepas, Meta mengumumkan rancangan untuk beralih daripada program pemeriksaan fakta pihak ketiga kepada pendekatan Community Notes yang bersumberkan komuniti, bermula di Amerika Syarikat (AS).
"Pada 18 Mac, kami akan memulakan ujian pendekatan baharu ini dengan membolehkan penyumbang daripada komuniti kami menulis dan menilai nota pada kandungan di Facebook, Instagram dan Threads," katanya pada Khamis.
X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, julung kali melancarkan program Community Notes pada 2021 sebelum ia diperluaskan pada 2023.
Program ini membolehkan pengguna, yang digelar sebagai penyumbang, meninggalkan nota maklumat pada hantaran bagi membetulkan maklumat salah atau memberikan konteks tambahan.
Jika bilangan penyumbang mencukupi dari pelbagai perspektif menilai nota itu sebagai "bermanfaat", ia akan dipaparkan secara terbuka pada hantaran berkenaan.
Meta memaklumkan bahawa setakat ini, 200,000 individu di AS telah mendaftar sebagai penyumbang berpotensi merentasi ketiga-tiga platform.
Syarikat itu akan memulakan ujian dengan secara beransur-ansur dan secara rawak menerima individu dari senarai menunggu serta menguji sistem penulisan dan penilaian sebelum mana-mana nota dipaparkan kepada umum.
-- BERNAMA
