KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan membentangkan satu memorandum Jemaah Menteri bagi membolehkan penawaran program undang-undang sebagai bidang fakulti yang baharu di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata ia antara langkah diambil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan moratorium yang diletakkan sebelum ini dilihat semula berikutan keperluan di kedua-dua negeri itu yang menghadapi kekurangan peguam.

"Buat masa ini, apa yang dilakukan bagi memastikan supaya hal ini dapat disegerakan ialah ada beberapa universiti boleh mengembangkan program itu dengan membuat kerjasama dengan universiti lain yang berada di Sabah dan Sarawak.

"Contohnya di Sarawak, program yang dianjurkan Universiti Malaya (UM) dengan Universiti Malaysia Sarawak dan kita jangkakan hal ini dapat kita tangani dalam kadar yang segera," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata terdapat tujuh universiti awam menawarkan program undang-undang peringkat ijazah sarjana muda dan setaraf, serta 19 institusi pengajian tinggi swasta menawarkan kursus pengajian itu di peringkat sama hingga suku ketiga 2023.

Zambry berkata universiti yang akan diberi ruang itu bergantung kepada keputusan yang dibuat apabila moratorium itu ditarik semula untuk membenarkan jumlah yang diperlukan di Sabah dan Sarawak.

"Dalam hal ini, kita mempunyai IPT (institusi pengajian tinggi awam) termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak, itu juga kita akan beri pertimbangan...kita boleh bincang dengan pihak institusi berkenaan.

"Yang menjadi halangan sekarang ialah dari segi moratorium yang dikenakan kepada kerajaan. Saya difahamkan sejak 2007 dan sekarang ini sudah sampai masanya untuk kita fikirkan hal ini diselesaikan manakala dari segi cara pendekatan kita serahkan kepada universiti.

"Dari segi cara pengambilan pelajar sama ada sepenuh masa dan pelajar yang sambil bekerja, sekarang ini pendekatan kita lebih anjal dan kita boleh serahkan kepada budi bicara universiti untuk mencari pendekatan terbaik untuk menggalakkan pelajar kita mengikuti kursus undang-undang di universiti mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan membuat semakan terhadap cadangan mewujudkan institut pengajian tinggi baharu bagi memastikan ia memenuhi keperluan semasa.

Zambry berkata kecukupan dan kesediaan bekalan tenaga pakar, keupayaan negara dan kewangan selain jenis program yang akan ditawarkan antara aspek yang perlu diteliti terlebih dahulu.

"Pihak kita akan mengambil maklum cadangan akan keperluan untuk mempunyai institusi pendidikan sama ada politeknik atau universiti. Ada yang meminta politeknik, ada yang meminta kolej komuniti di kawasan masing-masing.

"Dalam masa sama saya mohon untuk memahami kekangan yang ada. Terdapat institusi tertentu apabila ditubuhkan malangnya ia tidak dapat menarik jumlah pelajar yang mencukupi untuk belajar di situ," katanya.

-- BERNAMA