KUALA LUMPUR: Pembangunan semula Gaza perlu diselaras oleh entiti yang mampu membina semula wilayah terkepung yang musnah akibat serangan rejim zionis dengan sebaik mungkin.


Ringkasan AI
  • Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak sesuai untuk mengetuai pembangunan semula Gaza: Terdapat banyak pertikaian mengenai keupayaan PA untuk menguruskan pembangunan semula Gaza dengan baik, disebabkan rekod pentadbiran yang lemah dan pengaruh Israel dalam penubuhan dan pembiayaan PA. Hamas terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin membantu: Hamas tidak mempunyai masalah jika teknokrat atau PA terlibat dalam pembangunan semula Gaza, asalkan terdapat pemantauan oleh pihak antarabangsa untuk memastikan ketelusan dan keberkesanan projek tersebut. Rancangan pembinaan semula Gaza diterima oleh Liga Arab: Sidang kemuncak Liga Arab di Kaherah telah menerima pakai rancangan pembinaan semula Gaza yang dikemukakan oleh Mesir, dengan penyelarasan penuh Negara Palestin dan negara-negara Arab, berdasarkan kajian oleh Bank Dunia dan PBB.


Penganalisis berpandangan, Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat yang diterajui kumpulan Fatah tidak wajar diberikan tanggungjawab berkenaan.

Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff menyatakan, terdapat banyak pertikaian terhadap keupayaan PA untuk benar-benar menjayakan projek pembangunan semula Gaza.

“Dalam perbincangan (Liga Arab) itu disebut secara berterusan mengenai Pihak Berkuasa Palestin (PA atau Fatah). Sedangkan kita dapat maklumat daripada banyak pihak yang mempertikaikan keupayaan PA untuk mengendalikan dan menguruskan Tebing Barat. 

“Sehingga polis dan urusan berkait dengan membanteras gerakan penentangan di Tebing Barat juga telah diserahkan kepada tentera dan polis Israel,” katanya.

Bina Semula Gaza: ‘Tengkuk’ Negara Arab alam cengkaman AS, Israel - Penganalisis

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Dalam pada itu, Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor menegaskan, PA tidak boleh diberikan tanggungjawab mengetuai projek pembangunan Gaza memandangkan kumpulan itu mempunya rekod pentadbiran yang lemah. 

“Pihak Berkuasa Palestin (PA atau Fatah) ialah satu instrumen yang gagal sejak ia mula ditubuhkan. Ia ditubuhkan pula oleh Israel, didanai oleh Israel dengan dana yang besar untuk menekan Hamas sejak tahun 1973 susulan Perjanjian Oslo. 

“Kita tidak boleh letak kepercayaan kepada PA yang dicipta daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) oleh Liga Arab. Beri kepercayaan kepada PA untuk bina semula Gaza pasti akan gagal,” ujarnya.

Bina Semula Gaza: Jangan serah kepada Pihak Berkuasa Palestin, alamatnya gagal - Penganalisis

Dalam pada itu, Pensyarah Kolej PERMATA Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Abdel Rahman Ibrahim pula menyatakan Hamas tiada halangan bagi mana-mana pihak terlibat dalam pembangunan semula Gaza.

“Hamas sudah umum bahawa kumpulan pejuang itu tidak ada masalah untuk tidak dilibatkan dalam urusan pembangunan semula Gaza. Ini kerana pemimpin yang bermaruah perlu fikir sedemikian. Sekarang rakyat Gaza dalam keadaan susah. Siapa yang urus (pembangunan semula) itu cerita lain. 

“Hamas kata tidak ada masalah untuk teknokrat atau Pihak Berkuasa Palestin (PA atau Fatah) jalan pembangunan semula Gaza, dengan pemantauan pihak antarabangsa. Ini kerana, projek dan bajet pembangunan ini besar, maka perlu ada pemantauan pemerhati antarabangsa,” katanya.

Bina Semula Gaza: Pelaksanaan pelan Negara Arab berdepan pelbagai ketidaktentuan - Penganalisis

Pada 5 Mac lalu, sidang kemuncak Liga Arab di Kaherah menerima pakai rancangan pembinaan semula Gaza bagi membangunkan kembali wilayah itu.

Kenyataan akhir sidang kemuncak menetapkan bahawa pelan dikemukakan oleh Mesir dengan penyelarasan penuh Negara Palestin dan negara-negara Arab, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza sebagai satu rancangan komprehensif Arab.

Kenyataan itu turut menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka 'atas apa jua alasan atau dalam apa jua keadaan'.