Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata pembangunan tidak boleh berfokus kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya ia perlu mengambil kira aspek seperti kesejahteraan sosial, ekologi dan keamanan.
"Pertumbuhan itu perlu, tetapi tidak mencukupi untuk menjamin pembangunan yang sebenar. Ia harus merangkumi konteks lebih luas yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan," katanya kepada Bernama di Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada program itu bahawa kemajuan pembangunan sesebuah negara tidak boleh diukur hanya dengan indikator ekonomi, tetapi harus merangkumi keadilan sosial, kesejahteraan manusia, keseimbangan ekologi dan keamanan.
Menurut Noor Azlan, Malaysia mempunyai banyak dokumen pembangunan, tetapi apa yang penting adalah memastikan rancangan ini dilaksanakan, dipantau dan dinilai semula.
"Jangan kita bercakap perkara yang sama tanpa tindakan," katanya sambil menyeru kerajaan untuk menyemak kembali pelaksanaan rancangan lima tahun sebelum ini bagi memastikan isu lama tidak berulang dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Beliau turut menekankan bahawa cabaran terbesar Malaysia bukanlah dari segi kekurangan rancangan pembangunan, tetapi pelaksanaannya.
Terdahulu Noor Azlan ialah moderator pada Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) bertajuk "Rethinking Development Idea: A Conversation" yang melibatkan ahli panel seperti Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia Apurva Sanghi dan Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Profesor Emeritus Dr Jomo Kwame Sundaram.
Dalam sesi perbincangan itu, Apurva menggariskan tiga pemacu yang diyakini boleh memangkin pembangunan Malaysia dalam persekitaran global yang semakin kompleks dan tidak menentu iaitu subnasional, perkhidmatan dan kemampanan.
Beliau menekankan bahawa Malaysia memperlihatkan prestasi yang baik dari segi pengeluaran dan eksport barangan hijau ke seluruh dunia.
"Sebagai contoh, bateri litium. Sesuatu yang mengagumkan apabila Malaysia, dalam kalangan negara yang mempunyai struktur ekonomi serupa, mempunyai bahagian tertinggi dalam eksport hijau berbanding jumlah eksport.
"Oleh itu, ini merupakan potensi kelestarian yang sangat kurang dimanfaatkan dan belum diteroka, pemacu pertumbuhan. Meraih manfaat daripada potensi kelestarian bukan sahaja melibatkan barangan. Anda boleh menghasilkan komponen kenderaan elektrik, mineral kritikal, kobalt dan litium," katanya.
Jomo pula menegaskan bahawa Malaysia memerlukan keseimbangan antara pemusatan dan desentralisasi dalam usaha pembangunan negara.
"Malaysia bukan sebuah negara yang besar. Kita tidak boleh terlalu terpusat atau terlalu desentralisasi memandangkan pendekatan yang sederhana adalah kunci kepada pembangunan seimbang," katanya.
Beliau memberikan contoh isu pengurusan banjir dan bekalan air bersih yang memerlukan pendekatan mengikut konteks berdasarkan keperluan setempat.
Sementara itu, selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Noor Azlan menegaskan bahawa pendekatan pembangunan serantau harus memahami tahap pembangunan yang berbeza antara negara-negara anggota.
"ASEAN ini ada tiga kategori utama -- negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Apa yang sesuai untuk Singapura mungkin tidak sesuai untuk Myanmar atau Kemboja. Pendekatan universal itu penting, tetapi mesti disesuaikan dengan konteks setempat," katanya.
Mengenai Putrajaya FOI, beliau menyambut baik penganjurannya sebagai platform yang mengintegrasikan pelbagai sektor dalam membincangkan masa depan pembangunan negara.
"Ini satu program yang menyeluruh. Tahun depan, saya harap FOI bukan hanya inisiatif oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, tetapi melibatkan semua kementerian dengan penglibatan lebih besar," katanya.
Putrajaya FOI yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 November, menyediakan pelbagai program antaranya karnival kerjaya yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan selain menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar pelbagai bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum serta sidang selari menerusi MyIDEAS.
-- BERNAMA