KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mengakui misi anak buahnya pada kejohanan Seluruh England 2025 di Birmingham berakhir dengan kegagalan.

Keputusan kali ini menyaksikan tiga wakil daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terdiri juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta dua lagi gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King beraksi hambar sehingga dihantar pulang seawal pusingan pertama.

Herry yang baharu dilantik BAM dan memulakan tugas secara rasmi bulan lepas, mengakui keputusan mengecewakan itu antara pencapaian buruk sepanjang karier kejurulatihannya selepas sering menempa kejayaan bersama pasukan lamanya Indonesia.

Beliau berkata kecederaan tangan dialami Aaron serta percaturan pemain berusia 28 tahun yang kerap bermain di depan berbanding di belakang gelanggang mengundang padah.

"Aaron masih mengalami sedikit masalah di bahagian tangannya dan belum pulih 100 peratus. Selain itu, kebiasaannya beliau beraksi di bahagian belakang namun kali ini lebih banyak bergerak ke hadapan. Namun, apa pun alasannya, mereka kalah," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini.

Aaron-Wooi Yik tumpas kepada Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark, 16-21, 21-16, 18-21 pada Selasa lepas.

Beliau juga tidak menyangka permainan dipamerkan Wei Chong-Kai Wun yang kelihatan seakan-akan terikut rentak lawan sehingga akhirnya tersingkir di tangan pasangan dari China He Ji Ting-Ren Xiang Yu, 15-21, 8-21.

Gandingan Wan Arif-Roy King pula disifatkan gagal mengawal emosi memandangkan ini penampilan sulung dan akhirnya terpaksa tunduk kepada wakil China Huang Di-Liu Yang, 21-18, 16-21, 21-17.

Pada masa sama, jurulatih berusia 62 tahun itu, mengakui para pemain memerlukan masa untuk mengadaptasi dengan corak permainan yang mahu diterapkannya di gelanggang.

Sehubungan itu, Henry akan melakukan penilaian bersama jurulatih Muhammad Miftah sejurus selepas pasukan negara pulang dari Seluruh England.

Herry tidak berada di Birmingham susulan masalah visa.

-- BERNAMA