Pilihan kedua kejohanan itu hanya mengambil masa 37 minit untuk menewaskan Gi Jung-Sa Rang 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.
Kemenangan ini menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin akan bertemu pemenang satu lagi perlawanan pusingan pertama antara gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, atau pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
"Perlawanan ini sengit dan berjaya melakukan beberapa pukulan bertuah. Kami hanya perlu memberikan yang terbaik,"kata Sze Fei menerusi audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam aksi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan Taiwan Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun dalam pertarungan sengit selama 65 minit.
Mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 19-21, 21-15, 21-13.
Menanti Pearly-Thinaah di pusingan 16 terbaik ialah satu lagi pasangan Taiwan Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun.
Bagaimanapun, dua beregu campuran negara gagal meneruskan cabaran selepas tewas di pusingan pertama. Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tunduk kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-18, 20-22, 11-21 sementara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tewas kepada wakil Denmark Jesper Toft-Amalie Magelund 16-21, 19-21.
Satu lagi beregu lelaki profesional negara Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut tersingkir selepas kalah 14-21, 12-21 kepada pasangan Korea Selatan, Kang Minhyuk-Ki Dong Ju.
-- BERNAMA
