PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, jam 9.48 pagi pada Khamis.

Beliau yang hadir bagi dirakam keterangan berhubung kes rasuah serta pengubahan wang haram dihadapinya itu sempat melambai tangan kepada petugas media.

Rakaman percakapan itu diteruskan oleh SPRM selepas tempoh cuti sakit Ahli Parlimen Bera itu tamat pada Rabu.

Sebelum ini, Ismail Sabri sepatutnya dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 Mac untuk memberi keterangan.

Namun, beliau tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan telah diberi sijil cuti sakit oleh doktor yang merawatnya sehingga semalam.

Jumaat lalu, pegawai SPRM turut menemu bual doktor yang merawat Ismail bagi menilai tahap kesihatannya selepas beberapa kali sijil sakit dikeluarkan.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan, Ismail Sabri akan diambil keterangan pada 13 Mac selepas difahamkan penyakit Ismail tidak begitu serius.