Ringkasan AI
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (DVS Selangor) dan polis daerah Sepang berjaya menggagalkan cubaan memindah keluar khinzir yang disyaki dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF) dari daerah Sepang.
- Seorang lelaki tempatan ditahan kerana memindah keluar khinzir tanpa kebenaran DVS. Dua kenderaan pacuan empat roda dipercayai "tonto" cuba menghalang tindakan DVS Selangor.
- DVS Selangor menyita 17 ekor khinzir, dua bangkai khinzir, sebuah lori, dan dua kenderaan pacuan empat roda. Suspek disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Binatang 1953 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Pengarah DVS Selangor Dr Hassuzana Khalil berkata hasil daripada tindakan tersebut, seorang suspek lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai memindah keluar khinzir tanpa sebarang kebenaran DVS.
Beliau berkata semasa DVS Selangor mengekori lori yang dipandu oleh suspek terbabit, terdapat dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda dipercayai "tonto" telah melakukan halangan ke atas kenderaan yang digunakan pasukan DVS Selangor dalam usaha menggagalkan tindakan untuk menahan lori tersebut.
Rentetan daripada halangan itu, beliau berkata DVS Selangor menghubungi Balai Polis Sepang bagi mendapatkan bantuan dan akhirnya ketiga-tiga kenderaan tersebut berjaya ditahan di sekitar Jalan Besar, Sungai Pelek, Sepang.
"DVS Selangor menyita 17 ekor khinzir, dua bangkai khinzir, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso dan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Isuzu D-Max. Siasatan akan dijalankan oleh DVS Selangor mengikut Seksyen 36, Akta Binatang 1953 [Akta 647]," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hassuzana berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua "tonto" terlibat mendapati kenderaan tersebut masing-masing dipandu lelaki warga tempatan berumur 30-an dan 50-an dan suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata DVS Selangor akan terus melipat gandakan usaha bagi mengesan dan menghalang pemindahan khinzir tanpa kebenaran sama ada melalui risikan, pemeriksaan di jalan raya dan sebagainya.
-- BERNAMA
