Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak sepatutnya timbul isu berhubung siapa yang dipilih bertanding kerana pada akhirnya, calon itu akan tetap membawa nama dan imej parti.
"Saya tak tahu politik dalam di Bentong sebab saya di Bera. Walaupun sama-sama di Pahang, saya tak tahu cerita dalaman, kalau mereka kata calon tak diterima, saya pun tak tahu.
"Tapi bagi saya, yang penting calon itu daripada parti kita. Apabila dicalonkan, kita kena anggap calon itu mewakili kita sebab dia bertanding atas parti, bukan bertanding atas diri sendiri.
"Sebagai ahli parti, kita mesti menyokong calon dari parti kita. Sebab itu saya kata, siapa pun calon tak penting, yang penting mereka mewakili parti.
"Kalau calon itu kalah, bukan dia saja kalah tapi ia adalah kekalahan parti," katanya ketika ditemui selepas Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM), pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli menyertai PRK Pelangai sebagai protes pemilihan calon Barisan Nasional (BN).
BN diwakili Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam.
Haslihelmy dikatakan tidak berpuas hati apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohd Zaini Salleh tidak terpilih.
Dia yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) dilaporkan kesal dengan pemilihan tersebut dan mendakwa UMNO tidak mendengar suara dari akar umbi mereka.