Ujarnya, perkara itu dimaklumkan Presiden MPN sendiri, Profesor Datuk Raduan Che Rose ketika dihubunginya pada Rabu.
"Saya difahamkan (deklarasi itu) tidak mewakili MPN, dia mungkin sebahagian daripada profesor tapi tidak diwakili seluruh profesor dalam Malaysia.
"Semalam saya berkomunikasi dengan Presiden MPN.. itu bukan mewakili keseluruhan profesor yang ada," jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, satu kenyataan media akan dikeluarkan MPN dalam masa terdekat berhubung perkara itu.
"Biasalah di dalam mana-mana pertubuhan, ada yang menyokong, ada tidak menyokong... seperti saya sebutkan tadi (deklarasi itu) tidak mewakili keseluruhan profesor negara.
"Ia seolah-olah seluruh profesor menyokong Anwar. Saya difahamkan, mereka akan keluarkan kenyataan juga... tapi mereka menafikan itu mewakili (Majlis) Profesor Negara," jelasnya lagi.
Semalam, Kumpulan 70 Profesor Melayu dikenali sebagai G70 mengadakan sidang media menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan kredibiliti dan rekod prestasinya yang cemerlang.
Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Profesor Datuk Wan Ramli Wan Daud berkata, Pengerusi PH itu merupakan satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.