Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pergerakan itu yang bersidang pada Isnin.
"MKT sebulat suara untuk menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli UMNO berkuat kuasa serta merta," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Surat keputusan yang bertarikh 21 Jun 2022 juga tular di media sosial.
Berikutan penggantungan itu, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dilaporkan mengemukakan rayuan sebanyak empat kali.
Sementara itu, Asyraf berkata, MKT turut melantik Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Dilantik.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut memaklumkan UMNO akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun depan.
"Sekolah Politik itu akan memfokuskan kepada ilmu asas kenegaran, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat," katanya.