KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan 115 Akuan Bersumpah (SD) yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).


Ringkasan AI
  • Kertas siasatan membabitkan 115 Akuan Bersumpah (SD) yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
  • AGC telah menyerahkannya kembali kepada pihak polis bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan bertulis di Parlimen berkata, AGC kemudiannya telah menyerahkannya kembali kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.

Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan sebagaimana laporan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehubungan itu, kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan bertulis pada 11 Disember.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) tentang perkembangan terkini siasatan kes tersebut.

Pada 21 Ogos lalu, Muhyiddin dilapor telah menyerahkan 115 SD kepada polis yang menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022.