BANTING: Polis tidak bersikap pilih kasih dalam menjalankan siasatan terhadap kes melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Ringkasan AI
  • Polis tidak bersikap pilih kasih dalam siasatan kes melibatkan isu agama, raja, dan kaum (3R), dengan penubuhan Unit Siasatan Jenayah Terkelas untuk siasatan terperinci.
  • Pendakwaan bergantung kepada tempoh siasatan, dan polis hanya bertanggungjawab menyelesaikan siasatan sebelum menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak untuk tidak mengapi-apikan sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian.


Beliau berkata komitmen pihak berkuasa dalam menangani isu berkenaan dizahirkan menerusi penubuhan pasukan khas iaitu Unit Siasatan Jenayah Terkelas yang memfokuskan siasatan terperinci selepas menerima aduan berkaitan 3R di negara ini.

"Apabila kertas siasatan kes itu diselesaikan pasukan khas, ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pendakwaan.

"Apabila di mahkamah, apakah polis ada autoriti untuk memastikan ia berakhir dengan pertuduhan? Kita tidak ada autoriti itu. Saya jelaskan tanggungjawab polis setakat menyelesaikan siasatan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau premis memproses sisa elektronik haram di Teluk Panglima Garang di sini, hari ini yang menemukan hampir 50 tan kelongsong, anak peluru serta peluru hidup ketika serbuan Op Hazard, 15 Feb lepas.

Saifuddin Nasution berkata sikap pilih kasih sememangnya tidak wujud kerana sebarang pendakwaan bergantung kepada tempoh siasatan sesuatu kes selepas aduan diterima.

Beliau berkata sebarang perbandingan dan tuduhan berkaitan isu 3R juga tidak mendatangkan manfaat kepada negara.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua pihak untuk tidak menggunakan kesempatan membakar serta mengapi-apikan sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri sedar bahawa wujud usaha jahat sesetengah pihak berkepentingan yang cuba menanam persepsi 'double standard' dalam mengambil tindakan.

-- BERNAMA