Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan sesekali bertolak ansur sekiranya kenyataan itu berbaur hasutan yang berupaya mencetus bibit keganasan dan pergaduhan kaum.
"Umpamanya isu 3R, ada pembangkang yang mengatakan kita zalim kerana tidak membenarkan bicara tentang 3R, itu tidak betul.
"Kalau hendak bicara soal agama Islam atau agama lain, hendak bicara soal kaum, tidak puas hati hendak bantah, itu semua diizinkan.
"Yang tidak diizinkan ialah hasutan, ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum, dalam apa pun alasan dan kalau saya diserang sekalipun oleh media antarabangsa saya tidak akan tolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral, di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri menambah, perlu ada kefahaman dan kecelikan dalam kalangan rakyat bahawa hak asasi dan kebebasan harus diiringi dengan tanggungjawab bagi menjamin keamanan negara.
Menurutnya, kebebasan jika tidak dikawal dengan undang-undang akan menjadikan negara porak-peranda, terutamanya apabila menyentuh isu berkaitan dengan keganasan atau menimbulkan ketegangan kaum.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada SUHAKAM kerana ahli keluarga beliau pernah mendapatkan bantuan kepada suruhanjaya itu ketika berdepan dengan kesusahan pada satu ketika dulu.
"Saya hadir hari ini untuk menyatakan penghargaan kepada SUHAKAM kerana saya, Azizah (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan keluarga adalah antara yang terus ke pejabat SUHAKAM tatkala saya dalam keadaan susah dahulu.
"Ini sudah cukup bukti bahawa saya faham peranan SUHAKAM dari segi pengalaman peribadi dan saya percaya ribuan yang lain juga merasakan perlu agensi seperti SUHAKAM kerana peranannya mempertahankan hak asasi dan keadilan bagi semua," jelasnya lagi.