Ringkasan AI
- Kerajaan akan menggandakan usaha membasmi kemiskinan tegar secara agresif di seluruh negara.
- Program bantuan bersasar dan peluang berdikari disediakan untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan.
- Anwar menyeru kerjasama semua pihak, termasuk swasta dan NGO, untuk menjayakan usaha membasmi kemiskinan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata ini kerana kerajaan mahu melihat lebih ramai rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan menikmati kehidupan yang lebih baik, bermaruah serta sejahtera.
"Kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi ia adalah soal maruah dan keadilan sosial. Lantaran itu, sedari awal saya menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali berpeluk tubuh melihat rakyat terus dihimpit kemiskinan.
"Dengan pelbagai dasar dan kebijakan yang menyeluruh, program bantuan bersasar dan usaha bersepadu di peringkat akar umbi, kerajaan akan terus memastikan golongan yang benar-benar memerlukan dibantu dan diberi peluang keluar daripada kemiskinan," katanya.
Dalam usaha itu, Anwar berkata semalam Setiausaha Politik beliau, Datuk Ahmad Farhan Fauzi telah turun menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan di tiga Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
"Alhamdulillah, 221 buah keluarga berjaya dibebaskan daripada belenggu kemiskinan tegar. Ia bukan sekadar angka, tetapi bukti nyata bahawa usaha Kerajaan MADANI untuk membela rakyat yang memerlukan terus membuahkan hasil," katanya.
Menjelaskan lanjut, Anwar berkata usaha itu bukan sekadar memberikan bantuan sementara tetapi memastikan setiap keluarga mempunyai peluang untuk berdikari, mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.
Beliau menyeru semua pihak termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang prihatin untuk bersama-sama dalam usaha murni itu kerana dengan semangat kebersamaan yang utuh, Malaysia mampu mencapai sebagai negara yang lebih adil dan makmur untuk semua.
-- BERNAMA
