PERJANJIAN Malaysia 1963 (MA63) kembali menjadi fokus utama dalam agenda kerajaan, di bawah pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mengembalikan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan.

Anwar sebelum ini pernah berjanji untuk mempercepatkan proses penyelesaian tuntutan yang berkaitan dengan MA63.

Persoalannya, sejauh mana tuntutan itu berjaya diselesaikan dalam tempoh pemerintahannya?

Penekanan diberikan terhadap kesejahteraan rakyat di kedua-dua wilayah tersebut melalui pembangunan infrastruktur dan pengukuhan dasar sosial-ekonomi untuk keadilan dan keseimbangan dalam pembangunan Malaysia amnya.

Selain itu, pengukuhan pelaksanaan MA63, termasuk memantau pelaksanaan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian tersebut dan memastikan lebih banyak autonomi diberikan kepada Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam bidang kewangan, pembangunan, dan pentadbiran.

Foto fail

Lapan Tuntutan Diselesaikan

Menariknya sehingga Febuari lalu, sebanyak lapan tuntutan MA63 di bawah platform rundingan MA63 telah berjaya diselesaikan.

Malah, apa yang lebih membanggakan adalah lima daripadanya diselesaikan di bawah kepemimpinan Anwar, yang merupakan Perdana Menteri ke-10.

Manakala, tiga lagi adalah ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Hal ini secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan yang komited dalam menyelesaikan semua tuntutan MA63 sebagai tanggungjawab kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Tidak terhenti di situ, komitmen kerajaan juga dibuktikan dengan peningkatan peruntukan khas yang diluluskan sebanyak RM600 juta berbanding RM300 juta sebelum ini untuk tujuan keperluan pembangunan.

Ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menyelesaikan tuntutan MA63 selaras dengan perkara 122D Perlembagaan Persekutuan, dan ia bermula pada tahun 2025 dalam memastikan hak dan autonomi Sabah dan Sarawak yang diperjuangkan selama ini akan menemui sinar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata lima tuntutan yang telah siap sepenuhnya adalah:

1. Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).

2. Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap LHDN.

3.Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.

4. Penyediaan Garis Panduan Penyerahan Semula Tanah Direzabkan bagi maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak.

5. Cadangan Pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.

Tidak hanya omong kosong, penyelesaian tuntutan ini adalah bukti bahawa kerajaan sedang berusaha membawa Sabah dan Sarawak lebih dekat dengan Semenanjung Malaysia tanpa mengira apa-apa perbezaan dari segi pembangunan, ekonomi, infrastuktur dan sebagainya - semuanya setara.

Ia selaras dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Rakyat pada 2021, Pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 yang berkaitan dalam mengiktiraf semula kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia, seperti yang termaktub dalam MA63 pada tahun 1963.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan, termasuk soal pembahagian hasil dan hak autonomi penuh dalam beberapa bidang, yang sedang dirunding di peringkat kerajaan dan pihak berkuasa negeri.

Ia termasuk lima tuntutan yang perlu dirujuk di peringkat tertinggi melibatkan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), hak negeri ke atas pelantar benua serta duti setem yang dikenakan di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68) dan Kanun Tanah Sarawak (Bab 81).

Kesediaan Kerajaan Selesai Tuntutan MA63

Foto fail/ BERNAMA

Fadilah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menegaskan bahawa kerajaan kini dalam rangka untuk  mempercepatkan penyelesaian semua tuntutan di bawah MA63 – yang mungkin mengambil masa bergantung kepada  proses perundangan.

Malah, katanya tahap kesediaan Kerajaan Sabah dan Sarawak dari segi operasi, sumber manusia, dan kewangan juga perlu diambil kira sebelum sebarang tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan.

“Semua isu di bawah MA63 yang belum diselesaikan akan terus dipantau oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) selaku Sekretariat kepada Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 bersama dengan semua pemegang taruh di peringkat Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” ujar Fadillah dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Foto fail

Lapan tuntutan yang sedang dalam perbincangan adalah:

i. Obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan;

ii. Pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan;

iii. Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan Sabah dan Sarawak;

iv. Pembangunan Sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan;

v. Pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat;

vi. Cadangan pindaan item 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan
kepada Senarai III (Bersama), Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan;

vii. Isu kesihatan;

viii. Isu pendidikan.

Walaupun banyak pencapaian telah dibuat, masih terdapat isu-isu yang memerlukan perhatian dan penyelesaian yang berterusan, terutama dalam autonomi dan sumber semula jadi.

Usaha Kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan isu MA63 penting bagi memastikan Sabah dan Sarawak diberikan hak yang sepatutnya serta mengukuhkan kedudukan dua wilayah ini dalam  Malaysia, demi masa depan yang lebih cerah dan seimbang.

Bagi Sabah dan Sarawak - janji perlu dituntut, tetapi Kerajaan Persekutuan sudah tentu ‘tidak lupa’.


* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.