Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ikatan serta semangat tinggi ini dapat terus memajukan negara dan melahirkan generasi MADANI yang memiliki jati diri tinggi, dan setia sepanjang masa kepada ibu pertiwi.
"Tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' pada tahun ini secara simboliknya merupakan satu seruan khas kepada seluruh rakyat untuk memantapkan serta menghayati erti sebenar kemerdekaan dalam jiwa dan jati diri setiap warga Malaysia yang cintakan tanah air," katanya.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia ke-61, beliau berkata sambutan itu adalah wadah untuk memperingati persetujuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum keluar dari Malaysia pada 1965 untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 melalui Perjanjian Malaysia 1963 .
"Sepanjang 61 tahun kita sudah berada dalam Persekutuan Malaysia, Sarawak terus melangkah maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan ekonomi," katanya.
Abang Johari berkata kerajaan Sarawak kini memberi tumpuan ke arah dasar penjanaan ekonomi mapan berteraskan sumber baharu dan ekonomi digital menerusi pendekatan baharu di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata PCDS 2030 menekankan tiga dasar utama terdiri daripada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menurut Abang Johari, Sarawak semakin ke hadapan dengan kekuatan yang ada dengan pencapaian unggul, membawanya untuk diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi pada tahun lepas.
"Saya amat berharap pembangunan ekonomi akan terus pesat dan keharmonian rakyat pelbagai agama dan bangsanya terus berkekalan pada masa hadapan, berbekalkan semangat 'Segulai Sejalai' yang terbina atas dasar saling menghormati," katanya.
-- BERNAMA