KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk belajar daripada sejarah penubuhan Malaysia dan menghargai pengorbanan para pejuang dalam membentuk wawasan dan masa depan negara.

Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan Perpaduan tekad untuk memartabatkan semua negeri termasuk wilayah Sabah dan Sarawak, selain berharap hasrat itu dilakukan secara bersama.

Jelas Anwar, sama ada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau pembangunan kawasan pedalaman dan daerah termiskin, semua itu menjadi komitmen dan tangungjawab Kerajaan Persekutuan.

"Tiada negeri yang tidak bermasalah. Tetapi seperti mana saya sebut, timbalan-timbalan Perdana Menteri bersama saya, menteri dalam Jemaah Menteri... kalau mahu Malaysia ini berjaya, siapa sahaja Perdana Menteri, siapa sahaja jadi menteri, sesiapa sahaja pemimpin... dia mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia.

"Keluhan anak kecil di Kundasang (Sabah) atau wanita sakit di Kapit (Sarawak) atau Manik Urai di Kelantan, itu keluhan yang harus kita dengar. Walaupun saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabah.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor;  Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet Persekutuan serta Kabinet Negeri Sabah dan Sarawak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, para pemimpin perlu belajar daripada sikap yang ditunjukkan oleh Hajiji dan Abang Johari, yang mahu menjayakan Malaysia.

Di sebalik keluhan dan tuntutan, Anwar menjelaskan, dua pemimpin dari wilayah Sabah dan Sarawak itu memiliki semangat perpaduan untuk membina negara secara bersama.

"Dua sahabat yang saya menaruh keyakinan penuh iaitu Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak, bermuafakat dan berbicara dengan terang. Tegur dengan baik sebagai sahabat... mengeluh, menuntut tetapi dalam semanagat persahabatan untuk menjayakan Malaysia, negara keramat kita.

"Tidak benar kalau mengatakan mereka tidak menuntut atau tidak mengeluh atau memohon. Seperti mana saya, saya juga akan meminta daripada mereka. Tetapi semangat perpaduan (mereka) hidup untuk jayakan Malaysia, itu ada," ujarnya.

Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”.