Beliau berkata tema sambutan Hari Malaysia 2024 juga menggunakan tema sama dengan Hari Kebangsaan 2024 iaitu 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' yang menekankan semangat patriotisme dan cintakan negara melalui pelbagai perspektif melibatkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi.
Tema ini dipilih bagi menyuburkan nilai-nilai MADANI dalam diri setiap rakyat Malaysia, seiring langkah membina harapan dan masa depan yang cemerlang demi tanah air tercinta, tambah Chow.
"Hari Malaysia ini mengingatkan kita bahawa tanpa mengira asal usul, bangsa atau agama, kita adalah satu keluarga, satu jiwa yang berkongsi bumi bertuah ini," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor.
Chow berkata pada hari ini 61 tahun lepas, sebuah impian besar telah terwujud dan Malaysia bukan sekadar mencatatkan pembentukan sebuah negara tetapi menjadi simbol perjuangan, harapan dan perpaduan.
"Saya amat berbangga apabila mampu mengatakan bahawa Pulau Pinang adalah contoh terbaik kepada semangat Malaysia MADANI yang kita raikan hari ini.
"Seperti sebuah taman dipenuhi dengan bunga-bunga yang mekar serta harum, masyarakat majmuk di Pulau Pinang ini telah hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling bergantung antara satu sama lain dalam agenda pembangunan negeri ini," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang komited untuk memastikan bahawa kemakmuran ini tidak hanya kekal, tetapi berkembang maju dan terus melimpahi rakyat di negeri ini.
-- BERNAMA