KOTA KINABALU: Jarak perjalanan sejauh 331 kilometer dari Sandakan ke pusat bandar ini tidak menghalang pasangan suami isteri meraikan sambutan Hari Malaysia 2024 di Padang Merdeka di sini malam tadi.

Anita Ahmad, 50, yang sebelum ini hanya menonton acara gilang-gemilang itu menerusi televisyen, tekad untuk merealisasikan impian beliau dan suaminya pada tahun ini untuk menyaksikan sambutan itu secara langsung bagi merasai sendiri pengalaman meraikan ulang tahun ke-61 pembentukan Malaysia.

Anita yang bekerja sebagai kerani menyifatkan keputusan beliau dan suaminya untuk menyambut Hari Malaysia 2024 di lokasi acara amat berbaloi meskipun terpaksa menempuh perjalanan jauh kerana dapat menyaksikan pelbagai persembahan menarik seperti nyanyian lagu-lagu patriotik, persembahan tarian serta pertunjukan bunga api yang turut disertai masyarakat majmuk.

"Saya berharap agar semangat sambutan Hari Malaysia yang kita ada pada hari ini akan terus berkekalan dan semakin maju ke hadapan," katanya ketika ditemui Bernama.

Pemandu e-hailing, Azizan Awang, 40, pula berkata selain merasai sendiri pengalaman pertama kali merasai sambutan Hari Malaysia, beliau dan keluarga ingin melihat persembahan artis jemputan seperti Faizal Tahir, Stacy dan Akim.

Selain rakyat Malaysia, sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pelancong asing yang meluahkan rasa teruja kerana dapat menyaksikan keunikan masyarakat majmuk meraikan sambutan tersebut.

Pelancong China Xupeng Wang berkata ini merupakan pengalaman pertamanya menyaksikan sambutan gilang-gemilang seperti ini dan berasa sangat gembira kerana dapat merasainya sendiri.

"Sayangi rakyat, cintai negara...suasana di sini sangat menakjubkan,"katanya.

Pelancong Perancis Juliette Gourlouen ketika ditemui berkata sambutan yang sedang berlangsung semalam terasa sangat istimewa dan memberi kesan dalam hatinya.

"Penduduk di sini sangat baik dan kami sangat teruja untuk bersama-sama dengan rakyat tempatan meraikan Hari Malaysia," katanya.

-- BERNAMA