KUALA LUMPUR: Biarpun jauh beribu batu dari dari tanah air tercinta, rakyat Malaysia di Paris membawa cita rasa Malaysia ke Kota Cahaya dengan sambutan meriah Hari Malaysia.

Lebih 150 rakyat Malaysia yang menetap di Paris berkumpul di sebuah taman pada Ahad untuk meraikan Hari Malaysia, sambil menghayati warisan mereka dan memupuk semangat perpaduan.

Acara yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Perancis itu diwarnai dengan semangat patriotisme.

Hidangan lazat masakan Malaysia, termasuk nasi lemak, bihun goreng, nasi ayam, dan kuih-muih seperti popiah, badak berendam, ketayap, dan karipap turut disajikan.

Selain makanan, para hadirin turut menikmati permainan tradisional seperti galah panjang.

Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata sambutan Hari Malaysia tahun ini menandakan penganjuran pertama kedutaan untuk mempersembahkan kekayaan warisan budaya Malaysia melalui makanan, permainan, dan tarian.

Beliau berkata acara ini berperanan sebagai platform penting untuk menyatukan rakyat Malaysia yang tinggal di Perancis dan memperkukuhkan semangat kekitaan mereka.

"Sambutan tahun ini menawarkan kenangan nostalgia kepada rakyat Malaysia yang telah lama berjauhan dari tanah air.

Berkelah di taman terbukti menjadi pilihan yang ideal untuk menyatukan sekumpulan besar rakyat Malaysia. Ia menyediakan suasana yang mesra bagi memupuk hubungan dan mengeratkan lagi ikatan komuniti kami," katanya kepada Bernama.

Beliau menambah bahawa tetamu dari Perancis turut berpeluang merasai kepelbagaian budaya Malaysia yang terserlah melalui hidangan makanan yang lazat.

-- BERNAMA