KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia bebas daripada fahaman kolot atau jumud, sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain.

Perdana Menteri berkata semangat sedemikian telah dipupuk dalam setiap agama, selain menyifatkan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini cukup bermakna kerana ia diraikan serentak dengan Maulidur Rasul.

"Saya mulakan tadi dengan menyebut ayat al-Quran yang bersabit Maulidur Nabi dan apa kaitan dengan Malaysia yang merdeka, Malaysia bersama Sabah serta Sarawak.

"Bagi umat Islam, kelahiran Nabi itu terutama dalam penghijrahan dan kemudiannya itu adalah untuk memerdekakan. Justeru kita perlu bebaskan Malaysia, bebaskan negara (dengan) bebas daripada fahaman kolot, fahaman jumud, serta bebaskan daripada perkauman sempit dan kebencian antara satu sama lain.

"Bebas daripada menghukum dan menzalimi orang. Itu semangat agama dan saya percaya ini juga semangat yang dipupuk oleh agama-agama yang pelbagai di negara kita.

"Sebab itu saya kaitkan Maulidul Rasul dalam konteks ini (pembentukan Malaysia)... ada relevan dan kebijaksanaan serta ia satu yang unik (sambutan) Maulidur Rasul dan Hari Malaysia ke-61 (pada hari sama tahun ini)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor;  Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet Persekutuan serta Kabinet Negeri Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu,  Anwar menegaskan rakyat di negara ini hidup aman dan bersatu-padu sejak penubuhan Malaysia dan kemerdekaan kerana tiada sifat kebencian, suku-sukuan serta adu domba.

"Jaya Sabah, jaya Malaysia... Jaya Sarawak, jaya Malaysia, jaya Selangor, jaya Malaysia... inilah semangat yang harus kita hidupkan dalam kalangan kita," jelasnya.

Anwar juga berharap Sabah dan Sarawak terus bekerja sebagai satu pasukan dan menghindari daripada fahaman yang keterlaluan, seperti yang didakwa didengari dii Semenanjung Malaysia.

"... fahaman perkauman yang keterlaluan... fahaman agama yang menimbulkan kebencian dan musuh.

"Kalau kita dengar ceramah itu tidak ada lain, benci terus... Tidak ada langsung (sikap) rahmah, sabar dan kasih sayang. Sebab itu kita perlu belajar daripada sejarah penubuhan Malaysia iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.