Ringkasan AI
- Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan satu tonggak penting dalam sejarah pembentukan negara Malaysia dalam memberikan hak dan autonomi khusus kepada negeri Sabah dan Sarawak.
- Dalam konteks ini, menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), pelbagai usaha terus diperkukuh dan direncanakan kerajaan bagi memenuhi kesemua intipati ini.
- Usaha dalam merealisasikan tuntutan-tuntutan lain nampaknya terus dirancang dengan teliti bagi memastikan kesemua perkara digariskan dapat membuahkan hasil yang baik buat kedua negeri tersebut.
Sejarah panjang MA63 menyaksikan banyak tuntutan yang terkandung dalam perjanjian tersebut tidak dapat diselesaikan walaupun sudah berpuluh tahun ia digagaskan.
Memahami kesemua pelaksanaan 21 perkara ini, ia merupakan gagasan, status, hak dan keistimewaan kedua-dua negeri di blok Borneo baik dalam pelbagai cabang bidang melibatkan pentadbiran, perundangan serta ekonomi.
Malah jika diteliti dalam aspek Perlembagaan negara, sudah tertulis jelas status quo dua negeri ini dalam membentuk sebuah negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
Untuk itu, adalah penting kesemua perkara yang dituntut dalam MA63 ini dipenuhi dan direalisasi dalam menghormati gagasan pelaksanaan perjanjian tersebut.
Ini kerana, kepentingan dalam penyelesaian perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukan sahaja mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan pusat dan negeri, tetapi juga dilihat sebagai memberi harapan kepada rakyat bahawa suara mereka didengari dan diambil kira.
Mutakhir ini, melihat kepada konteks semasa terdapat, banyak perkembangan yang sangat positif membuktikan usaha Kerajaan pada hari ini yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi tuntutan berkaitan MA63.
Bagaimanapun, dalam usaha memenuhi kesemua tuntutan yang digariskan, ia memerlukan perhatian yang serius dalam memastikan hak dan keperluan rakyat di negeri Sabah dan Sarawak terus terjamin.
Dalam konteks ini, menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), pelbagai usaha terus diperkukuh dan direncanakan kerajaan bagi memenuhi kesemua intipati ini.
Usaha murni ini jelas melatari Perlembagaan negara yang sebelum ini telah disepakati bersama, dalam konteks sebuah negara bernama Malaysia.
Tuntutan direalisasi, bukti Kerajaan menghormati prinsip MA63
Baru-baru ini, melihat kepada pencapaian semasa perkembangan MA63 ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga merupakan orang kuat dalam melaksanakan usaha kerajaan ini, mengumumkan bahawa sebanyak 11 tuntutan yang berkaitan berjaya diselesaikan.
Usaha proaktif dan progresif ini jelas membuktikan kerajaan ketika ini memahami dan menghormati aspirasi dan prinsip asas dalam tuntutan yang digariskan demi kesejahteraan negeri dan rakyat.
Dengan kejayaan terbaharu ini, ia nyata membuktikan kedudukan dua negeri di Kepulauan Borneo ini semakin mendapat perhatian dari Kerajaan Persekutuan.
Daripada 11 tuntutan terbaharu yang berjaya diselesaikan ini, tujuh tuntutan berjaya direalisasikan di bawah pentadbiran Anwar yang mengetuai Kerajaan MADANI, setakat ini.
Kesemua tuntutan ini merangkumi pelbagai aspek yang penting termasuk pengagihan sumber dan pengakuan hak-hak negeri.
Antara tuntutan yang berjaya diselesaikan setakat ini termasuklah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
Selain itu, menerusi pengumuman Ahli Parlimen Petra Jaya baru-baru ini, penyelesaian merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Fadillah pada September juga berkata, komitmen di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10 ini menyaksikan lebih banyak perkara dapat diputuskan dalam tempoh dua tahun pentadbiran ini.
Bayangkan, sekiranya perkara ini sudah diselaras dan disepakati oleh kerajaan-kerajaan terdahulu, pastinya kesemua 21 perkara digariskan sudah berjaya mencapai kemajuan yang cemerlang dan sudah berjaya direalisasikan.
Usaha dalam merealisasikan tuntutan-tuntutan lain nampaknya terus dirancang dengan teliti bagi memastikan kesemua perkara digariskan dapat membuahkan hasil yang baik buat kedua negeri tersebut.
Sebulan selepas pengumuman dibuat Fadillah, 14 Oktober lalu MTPMA63 bersetuju dan memutuskan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah serta Sarawak bagi meneliti semula tuntutan berhubung pertambahan Ahli Dewan Rakyat membabitkan dua negeri itu dalam aspek perundangan.
Melihat kepada perkara ini, keluasan dua negeri tersebut menyaksikan terdapat keperluan khusus dalam memastikan lebih banyak wakil dari dua negeri ini di Parlimen bagi mengimbagi keputusan, keperluan dan kehendak rakyat.
Ini merupakan satu langkah yang perlu diamati dan diteliti dalam memastikan suara semua rakyat baik di kawasan pedalaman tidak terpinggir di peringkat nasional.
Langkah ini sebenarnya juga selaras dengan jumlah asal 35 peratus yang diberikan pada awal pembentukan Malaysia, ketika Singapura masih bersama Persekutuan lebih 60 tahun yang lalu.
Melihat kepada jumlah asal itu, Sabah dan Sarawak sebenarnya memerlukan 78 kerusi Parlimen berbanding 56 ketika ini bagi mencapai jumlah satu pertiga.
Justeru, sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan sebaiknya, pastinya isu-isu spesifik dan berkepentingan yang berkaitan dengan kedua-dua negeri ini akan dapat diselesaikan dengan lebih baik dan berkesan.
Malah, ia juga dapat memastikan suara kedua negeri tersebut lebih bergema malah memiliki lebih pengaruh dalam menentukan dasar dan hala tuju di peringkat Nasional.
Pada masa sama, MTPMA63 yang bermesyuarat pada 12 September lalu menerusi Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak turut menyentuh mengenai sempadan laut, royalti minyak dan duti setem.
Pastinya, lebih banyak usaha perlu digalas kerajaan bagi memastikan lebih banyak tuntutan dapat diselesaikan sekali gus menangani kelewatan puluhan tahun yang berlaku selama ini.
Tekad politik yang kuat diperlukan kerana tanpa asas itu, banyak agenda yang selama ini dirancang melibatkan MA63 ini tidak akan berjaya digagasi sebaiknya.
Komitmen berterusan Kerajaan, usaha iktiraf hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak
Kesedaran terhadap kepentingan MA63 sebagai satu perjanjian yang mustahak harus terus dipupuk dan difahami segenap masyarakat dan pimpinan negara.
Ini kerana dengan mengutamakan kerjasama serta memahami aspirasi, kehendak dan keperluan rakyat, Malaysia pastinya akan terus dapat bergerak ke arah negara yang lebih inklusif.
Malah usaha merealisasikan MA63 ini merupakan satu langkah ke arah mencapai visi dan aspirasi negara yang seimbang dan adil dengan memastikan hak dan tuntutan setiap rakyat baik di Sabah dan Sarawak dapat dipenuhi.
Langkah ini juga bagi membolehkan semua rakyat di negara ini dapat menikmati hasil pembangunan dan kemodenan secara adil dan saksama seperti yang dinikmati rakyat di negeri lain.
Secara keseluruhannya, perkembangan dan kemajuan terkini berkaitan MA63 jelas membuktikan komitmen kerajaan yang lebih jelas dalam memenuhi setiap tuntutan yang digariskan.
Namun perkara ini tidak akan berjaya dilaksanakan dalam jangka masa pendek kerana usaha dan kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi memastikan semua cabaran yang wujud dapat diatasi dengan baik.
Ini bagi memastikan MA63 bukan sahaja menjadi dokumen sejarah semata-mata, tetapi juga sebagai panduan penting dalam usaha membangun Malaysia yang lebih baik, berdaya saing dan progresif.
* Syafik Shukri Jalil merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Sarjana dari School of Art and Media, University of Brighton, United Kingdom.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.