Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (HELWA ABIM) Dr Fatin Nur Majdina Nordin berkata insiden cubaan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di masjid di Batang Kali, Selangor semalam telah mencemarkan kesucian tempat ibadat selain mengancam kesejahteraan psikologi dan keselamatan pengunjung masjid.
Beliau berkata perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku di masjid, memandangkan ia merupakan tempat ibadat yang terjamin aman dan selamat.
"HELWA ABIM menzahirkan rasa sedih dan bimbang serta mengajak semua masyarakat untuk lebih prihatin dalam isu perlindungan dan keselamatan kanak-kanak, khusus merujuk kepada peristiwa gangguan seksual terhadap kanak-kanak perempuan yang berlaku di masjid baru-baru ini.
"Kejadian gangguan seksual yang berlaku ini menunjukkan betapa pentingnya pengawasan dan keselamatan di dalam dan sekitar kawasan masjid, juga semasa jamaah menunaikan ibadat di dalam masjid," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita, sebelum memeluk seorang kanak-kanak dari arah belakang ketika sedang bersujud dan melarikan mangsa tanpa disedari jemaah lain.
Susulan kejadian itu, lelaki terbabit ditahan di kediamannya yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid terbabit pada 10 pagi semalam.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim memaklumkan semakan mendapati lelaki terbabit memiliki kad orang kelainan upaya (OKU) kerana mengalami masalah pembelajaran.
Fatin Nur Majdina berkata isu OKU yang terkait dalam insiden itu harus diteliti dengan baik, tanpa menambahkan stigma terhadap golongan berkenaan atau normalisasi terhadap kesalahan individu OKU.
"Isu melibatkan OKU adalah sensitif dan perlu kepada siasatan dan penilaian yang menyeluruh. Pesalah yang terbukti bersalah seharusnya dihukum dengan wajar tanpa menjadikan kekurangan yang tidak berasas atau tidak dibuktikan oleh pakar sebagai alasan untuk dilepaskan daripada hukuman," katanya.
Fatin Nur Majdina berkata identiti kanak-kanak yang terlibat juga harus dilindungi dan tidak didedahkan, selain menasihati pengamal media juga warganet supaya berhati-hati dan tidak menyebarkan video mangsa sewenang-wenangnya.
-- BERNAMA
