KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim percaya bahawa beliau mempunyai alasan kukuh untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya ketika ini.


Ringkasan AI
  • Pandangan Undang-Undang: Mohd Azizi berpendapat bahawa Akta Anti Lompat Parti tidak terpakai untuknya dan telah mengemukakan surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yaasin untuk memaklumkan kekhilafan terhadap tindakan yang dibuat oleh parti.
  • Logo dan Pilihan Raya: Beliau menegaskan bahawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau menggunakan logo Pas di kedua-dua pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau juga merujuk kepada sejarah di Kelantan di mana Ibrahim Ali bertanding Bebas tetapi menggunakan logo Pas.
  • Keputusan Speaker Dewan Rakyat: Mohd Azizi dan lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menerima notis untuk mengosongkan kerusi. Keputusan daripada Speaker Dewan Rakyat dijangka diketahui dalam minggu hadapan.


Menjelaskan perkara itu, Mohd Azizi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berkata dari segi undang-undang, beliau berpandangan Akta Anti Lompat Parti tidak terpakai untuknya.

Justeru, Mohd Azizi menjelaskan telah mengemukakan penjelasan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan telah berlaku 'kekhilafan' terhadap tindakan yang dibuat oleh parti.

"Memang jelas kita masa Plihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita menggunakan logo Pas di kedua-dua pilihan raya iaitu Parlimen dan DUN.

"Terbaharu, saya bertanding untuk DUN memang watikah itu ditandatangani oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung Pas.

"Kita tidak nampak langsung kenapa Bersatu menghantar notis kekosongan yang perlunya Speaker Negeri (Kelantan) untuk menerima notis tersebut sedangkan saya boleh isytihar pada masa itu.

"Contohnya sejarah di Kelantan sebelum ini Ibrahim Ali bertanding Bebas tetapi menggunakan logo Pas. Jadi pada masa itu tidak ada parti. Jadi saya boleh pastikan pada masa itu saya bukan Bersatu sebab saya menggunakan logo Pas," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Parlimen pada Rabu.

Mohd Azizi, antara enam ahli Parlimen Bersatu yang diarahkan mengosongkan kerusi kerana tindakan mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isnin lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah menerima notis untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu.

Ia selepas Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Johari pada Jumaat, meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ditanya mengenai jangkaan keputusan daripada Speaker Dewan Rakyat, Mohd Azizi berkata statusnya bersama lima lagi Ahli Parlimen, kemungkinan diketahui selewatnya-lewatnya minggu hadapan.

Ujarnya, beliau telah menerima notis daripada Johari untuk menjawab beberapa perkara dan dijangka menghantar jawapan bertulis pada minggu ini.

“Kita agak begitulah, kalau ikut pada notis yang kita dapat maklum maknanya parti dah hantar notis kepada pejabat Speaker minggu lalu dan Speaker ada masa 21 hari sebagaimana yang diberitahu, jadi kita jangka minggu depan.

“Kita ada terima notis (daripada Johari) dan kelmarin kita dah diberi notis oleh Speaker untuk kita memberi jawapan bertulis dan insya-Allah minggu ini kita akan jawab dan hantar,” tambahnya lagi.