Setakat ini, pihak berkuasa Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan, walaupun serangan udara tersebut disahkan berlaku oleh sumber tempatan.
Israel telah melancarkan semula serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak Selasa lalu setelah menuduh Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari, sekali gus menamatkan hampir dua bulan ketenangan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, objektif utama kempen ketenteraan ini adalah untuk memusnahkan Hamas sebagai sebuah entiti ketenteraan dan pentadbiran yang sah di Gaza.
Netanyahu turut menyatakan operasi ketenteraan ini bertujuan mendesak Hamas agar membebaskan baki tebusan yang masih ditahan sejak serangan 7 Oktober 2023.
Ketua kerajaan de facto Hamas, Essam Addalees serta ketua keselamatan dalaman Hamas, Mahmoud Abu Watfa, turut disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel pada Selasa, bersama beberapa pegawai kanan lain.
Pegawai kesihatan Palestin melaporkan, sekurang-kurangnya 400 orang terkorban pada hari yang sama, dan lebih separuh daripada jumlah itu terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.
Pasukan perubatan Palestin juga memaklumkan, satu serangan udara Israel telah mensasarkan sebuah rumah di Rafah, Gaza Selatan, yang mengakibatkan beberapa individu cedera.
Pasukan pejuang Palestin, Hamas mendakwa Israel telah melanggar syarat perjanjian gencatan senjata Januari lalu kerana enggan memulakan rundingan ke arah penamatan peperangan secara menyeluruh dan penarikan keluar tentera Israel dari Gaza.
Meskipun begitu, Hamas menyatakan kesediaan untuk terus berunding dan kini sedang mempertimbangkan cadangan kompromi yang dikemukakan oleh Utusan Khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff sebagai jalan tengah perbincangan.
Serangan udara dan operasi darat yang dilancarkan semula oleh Israel telah memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza dan mendorong gesaan segera gencatan senjata daripada negara-negara Arab serta Eropah.
Kempen ketenteraan Israel bermula selepas Hamas melancarkan serangan besar ke atas kawasan penduduk Israel berhampiran Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023, yang menyebabkan kira-kira 1,200 orang terkorban dan 251 lagi dijadikan tebusan, menurut sumber Israel.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, serangan balas Israel telah menyebabkan lebih 49,000 rakyat Palestin terbunuh dan memusnahkan sebahagian besar wilayah pesisir Gaza, memaksa ratusan ribu penduduk berlindung di khemah serta tempat perlindungan sementara. - Agensi
