Ketua Polis Daerah Marang, Supt Mohd Sofian Redzuan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 12.30 tengah malam tadi, daripada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah.
Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila tayar belakang sebelah kiri van jenis Toyota Hiace milik Kementerian Kesihatan Malaysia yang membawa seorang pesakit wanita berusia 21 tahun itu, tiba-tiba pecah sebelum terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.
"Turut menaiki ambulans yang dalam perjalanan dari Hospital Kemaman ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini itu ialah seorang doktor wanita berusia 28 tahun, dua orang jururawat dan seorang pemandu lelaki," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu dan kesemua penumpang yang hanya mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan lanjut.
Mohd Sofian meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat di talian 09-6182222 bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN166/59).
-- BERNAMA
