SIK: Kehadiran beberapa anjing liar di sekitar jalan Charuk Padang-Batu 5 dekat sini sejak kebelakangan ini telah menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pengguna di laluan terbabit, dan mula meresahkan penduduk setempat.


Ringkasan AI
  • Ancaman keselamatan: Kehadiran anjing liar di sekitar jalan Charuk Padang-Batu 5 menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pengguna jalan raya dan meresahkan penduduk setempat.
  • Kemalangan dan Kecederaan: Beberapa kemalangan dilaporkan berlaku akibat anjing melintas jalan secara tiba-tiba, termasuk kejadian seorang warga emas cedera selepas terlanggar anjing.
  • Seruan berhati-hati: Pegawai Pertahanan Awam mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan memandu secara berhemah, serta penduduk berharap pihak berkuasa tempatan menangkap anjing liar untuk menjaga keselamatan ramai.


Orang ramai di kawasan tersebut mendakwa beberapa kemalangan dilaporkan berlaku apabila anjing-anjing tersebut melintas jalan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan penunggang dan pemandu kenderaan tidak sempat mengelak, dan ada juga kenderaan yang terbabas.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik Lt (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata dalam kejadian petang semalam semasa petugasnya melakukan rondaan Op Ramadan di kawasan itu, mereka telah membantu seorang warga emas yang cedera apabila terjatuh daripada motosikalnya selepas terlanggar seekor anjing.

"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kami telah bawa dia ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan agar sentiasa berhati-hati dan memandu secara berhemah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, memandangkan banyak anjing liar dilihat sering dilihat berkeliaran di situ.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa ekor anjing dilihat berkeliaran di tepi jalan raya dan sesekali berlari ke atas jalan raya secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pemandu terpaksa membrek dengan pantas.

Beberapa penduduk sekitar yang ditemui mendakwa anjing-anjing berkenaan tiada pemilik, dan mereka berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk menangkap haiwan tersebut bagi menjaga keselamatan ramai.

-- BERNAMA